SPECIAL ADS

20 Julai 2014

Kajian UMcedel: Sokongan Pakatan di Selangor jatuh ke 35%, selepas PRU 13

Tetapi malangnya bagi Barisan Nasional (BN), pengundi yang kecewa dengan pergaduhan dalaman PR masih tidak kembali kepada kerajaan persekutuan yang memerintah, dengan sokongan kepada gabungan itu masih 25%.
Kajian yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) itu juga menunjukkan peratusan mereka yang tidak pasti dengan kedua-dua gabungan dan enggan menjawab soalan dalam kaji selidik itu kini membentuk 40%.
UMcedel membuat perbandingan sokongan itu dengan pada 2012 apabila sokongan kepada Pakatan ialah 50% manakala BN 15%.
Pembentangan khas mengenai hasil kajian itu dikendalikan bekas Pengarah UMcedel Profesor Datuk Dr Redzuan Othman.
Kajian yang dilakukan pada 10 hingga 19 Mei baru-baru ini dijalankan untuk sekumpulan pengkaji politik termasuk The Malaysian Insider.
"Kami dapati mereka yang tidak lagi menyokong PR ini banyak beralih kepada golongan 'tidak pasti' yang kini membentuk 40% (termasuk 15% yang tidak mahu menjawab), selain pergi kepada BN," kata Redzuan.
Kali terakhir UMcedel menjalankan kajian yang sama di Selangor ialah pada September 2012.
Bagaimanapun, Redzuan tidak mendedahkan kenapa sokongan kepada pakatan pembangkang itu berkurangan.
Pergolakan kini berlaku di negeri itu susulan usaha sesetengah pihak dalam PR yang mahu menukar menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim.
Ini merupakan kajian terkini UMcedel yang juga sedang menempuh zaman bergolak selepas Redzuan ditamatkan perkhidmatannya 31 Mac lalu sedangkan tempoh lantikan beliau sepatutnya tamat 31 Disember ini.
Pengarah UMcedel yang baru Dr Amir Saifudee Ghazali turut hadir dalam pembentangan yang diadakan di pejabat UMcedel tersebut.
Kajian setahun selepas PRU13 itu dibuat UMcedel untuk pelbagai perkara namun hanya kajian untuk Selangor dikeluarkan terlebih dulu untuk siaran kerana ia dianggap paling relevan dengan apa yang berlaku di negeri itu sekarang.
UMcedel berkata, sokongan untuk PR di Selangor naik secara jelas sejak kajian pertama yang dibuatnya bermula Oktober 2011 lalu.
Ketika itu, sokongan kepada PR hanya 21% manakala BN 33%.
Namun sokongan kepada PR meningkat sejak itu kepada 38% berdasarkan kajian yang dibuat pada Mac 2012.
Sokongan kepada PR memuncak pada September 2012, iaitu kepada kadar 50% berbanding BN hanya 15% pada ketika itu.
Ia menghasilkan kemenangan besar PR di Selangor dan Khalid dilantik menjadi menteri besar untuk penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Dalam pilihan raya itu, PAS berjaya mendapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri, DAP 15 dan PKR 14, manakala BN hanya 12. TMI

Tiada ulasan: