SPECIAL ADS

15 Julai 2014

Khalid: Ikut gambar dah banyak parti saya masuk

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan dakwaan akan menyertai Umno atau PAS susulan tersebar gambarnya berbuka puasa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan melayani kunjungan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tak ada... Sebelum malam itu, saya bergambar dengan Datuk Seri Najib dan lepas itu saya juga ambil gambar dengan Datuk Seri Anwar. Kemudian, saya bergambar dengan Datuk Seri Abdul Hadi.

"Jadi kalau berasaskan gambar sahaja dah banyak parti saya masuk,” katanya seperti dilapor portal berita Selangorkinisemalam.

Pada Jumaat lalu, Najib menafikan wujud pertemuan beliau dengan Khalid selepas majlis berbuka puasa di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam pada Khamis dan tidak mengajaknya menyertai Umno.

Manakala Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali turut menafikan mengajak Khalid menyertai parti itu dalam ziarah "bulan puasa" beliau bersama Abdul Hadi ke kediaman menteri besar lewat malam Sabtu.

Laporan itu juga menyebut Khalid berkata beliau berbuka puasa dengan Najib berlandaskan kepada jemputan dan selaku pemimpin negara lebih baik Najib hadir ke masjid baru dan kedua terbesar di negeri itu kerana mempunyai signifikannya.

"Yang sebenarnya Datuk Seri Najib ingin melawat Selangor tetapi oleh kerana kita rasa beliau sebagai pemimpin negara, maka kita menjemput beliau untuk datang ke masjid Tengku Ampuan Jemaah iaitu masjid kedua terbesar di Selangor," katanya.

Portal itu turut menyebut, Khalid menjelaskan masjid itu dipilih dalam lawatan Najib kerana kerajaan negeri menyumbang RM11 juta, Sultan Selangor dan keluarganya pula menyumbang RM7 juta manakala Sime Darby RM5 juta bagi tujuan pembinaan masjid itu.

“Selain daripada itu, RM3 juta sumbangan daripada masyarakat Bukit Jelutong. Jadi kita nak tunjukkan kepada Najib pembinaan masjid negeri juga disokong dan dibiayai bukan sahaja oleh kerajaan negeri tetapi syarikat dan orang ramai.

“Oleh sebab Najib hadir di ibu negeri Shah Alam dan di masjid utama negeri, ada baiknya menteri besar bersama dengan beliau. Jadi, tujuan kita juga menghormati kehadirannya dan saya juga dapat pahala kerana berjemaah dengan rakan di sana,” katanya. MK

Tiada ulasan: