Menyifatkan pelakuan mereka sebagai "kurang sopan dan tidak profesional", seorang jurucakap OSCE berkata beberapa lelaki bersenjata di kawasan itu kelihatan seolah-olah mabuk manakala yang lain tidak membenarkan pasukannya seramai kira-kira 25 pemerhati melihat bangkai pesawat Boeing 777 itu.
"Kami menjangkakan diberi akses penuh, itu cara kita bekerja," Michael Bociurkiw dalam satu sidang akhbar.
"Malangnya tugas itu telah menjadi sukar. Apabila tiba di tapak nahas... kami berdepan dengan anggota bersenjata yang berkelakuan kurang sopan dan tidak profesional. Ada di antara mereka yang kelihatan sedikit mabuk. "
Beliau menafikan pemberontak pro-Rusia melepaskan
tembakan ke arah kumpulan pemerhati OSCE, tetapi berkata seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke udara, seperti mahu menakut-nakutkan sesetengah orang awam.
Terdahulu, pengerusi majlis tetap OSCE itu, Thomas Greminger, memberitahu Reuters bahawa kumpulan pemerhati itu tidak mendapat akses ke tapak nahas dan para penyiasat hanya menunggu di di sana kira-kira 75 minit sebelum kembali ke Donetsk.
Amerika Syarikat berkata ia "memandang berat" cara pemerhati OSCE itu dilayan.
"Mereka yang mengatakan akan mengambil bahagian atau mengalu-alukan penyiasatan ini, perlu memberi akses penuh dan jelasnya, kita dapati keadaannya tidak begitu apabila individu-individu terbabit berada di sana untuk 75 minit," kata jurucakap Jabatan Negara AS Jen Psaki dalam taklimat di Washington.
Amerika Syarikat mahu melihat satu "penyiasatan antarabangsa yang berwibawa," sambil menambah kerajaan AS telah menawarkan untuk menghantar kakitangan dan sumber-sumber daripada Lembaga Keselamatan dan Pengangkutan Negara dan Biro Penyiasatan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan