Seharusnya, kerajaan terutama sekali Kementerian Kewangan (MoF) berada dalam kedudukan gear 5 ketika ini, apabila bercakap mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan tidak sampai 10 bulan lagi.
Momentum ini nampaknya jelas kelihatan dalam setiap ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan apabila beliau tidak putus-putus menerangkan mengenai GST sama ada dalam ucapan perhimpunan bulanan MoF atau JPM mahupun dalam ucapan perasmian majlis rasmi beliau, hatta dalam majlis penyerahan bantuan Ramadan disebut serta diulas mengenai GST.
Saya sendiri selaku Akauntan Bertauliah serta Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sudah dua kali menulis mengenai GST dalam portal berita ini, bermula dengan artikel bertajuk ‘Masa Terbaik Laksanakan GST’ pada September 2013, saya kemudian mengupas lagi mengenai GST dalam artikel bertajuk ‘GST dan Perakaunan Akruan penentu sokongan rakyat kepada BN’ pada April lalu.
Tidak cukup dengan itu, saya mewakili kerajaan BN hadir dalam ‘gelanggang’ wacana Sinar Harian berhadapan dengan Pakar Strategi PKR, Rafizi Ramli berdebat mengenai GST pada 21 Mei lalu, bagi memastikan rakyat memahami tujuan serta kebaikan mengenai sistem cukai baru ini.
Saya sedar bahawa masih ramai rakyat yang keliru dengan GST walaupun bagi pihak kerajaan, ada yang merasakan bahawa penerangan mengenai sistem cukai ini sudah dilakukan sehabis baik.
Bagaimanapun, kekeliruan mengenai pemahaman terhadap cukai GST ini sebenarnya boleh dikatakan berpunca daripada sikap kerajaan sendiri yang lambat untuk mendidik rakyat mengenai cukai ini bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.
Hanya apabila diumumkan Najib dalam pembentangan Bajet 2014 tahun lalu mengenai pelaksanaan GST yang akan dilakukan pada April 2015, barulah jentera kerajaan mula ‘bekerja’ untuk memberikan penerangan mengenai GST.
Jadi tidak hairanlah GST ini, terus menjadi isu politik dan ‘peluru’ kepada pembangkang yang sememangnya hanya menunggu peluang untuk ‘membelasah’ kerajaan Barisan Nasional (BN).
Walaupun pembangkang, terutama DAP dan PKR, bermati-matian menentang GST, namun hingga ke hari ini, saya tidak pernah mendengar mana-mana pemimpin tertingginya membuat aku janji kepada rakyat bahawa pakatan pembangkang berkenaan akan menghapuskan GST jika mereka menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 kelak.
Lebih menghairankan, sepanjang tempoh publisiti GST sebelum ia dilaksanakan, tidak ramai pemimpin kerajaan BN yang mahu turun ke padang memberikan penjelasan terus kepada rakyat mengenai kebaikan cukai ini.
Jadi, tidak hairanlah masih ada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang pro-BN, merasakan bahawa pendekatan serta penerangan mengenai GST perlu dilakukan dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
Ketika pimpinan kerajaan BN dengan lantang menyatakan kepada rakyat GST akan membawa kebaikan ke arah ekonomi negara yang lebih mampan serta berdaya saing selain membolehkan hasil kerajaan dikutip dengan lebih efisien serta telus, mereka juga perlu menerangkan bahawa sistem cukai ini juga boleh membuat kerajaan tidak dapat mengutip hasil yang sepatutnya.
Pengalaman bersama ahli PAC membuat lawatan ke Australia baru-baru ini mendedahkan kepada kami mengenai cukai GST yang sudah dilaksanakan di negara kangaru ini, sejak 14 tahun lalu dan kini, kerajaan negara berkenaan merasakan sudah sampai masanya sistem cukai berkenaan dikaji semula.
Ia disebabkan GST yang berasaskan cukai kepada kepenggunaan dan perkhidmatan hanya akan dapat dikutip jika rakyat berbelanja, tetapi jika rakyat mengehadkan perbelanjaannnya, sudah pasti hasil untuk kerajaan tidak dapat dikutip.
Sebenarnya, adalah lebih baik untuk kerajaan turut memikirkan pilihan untuk tidak memberikan pengecualian barangan atau sektor dalam GST, sebaliknya, kerajaan terus menyalurkan hasil yang diperoleh melalui cukai berkenaan melalui BR1M terus kepada golongan sasar.
Jika terus mahu memberikan pengecualian GST, kerajaan juga perlu berhati-hati dalam menentukan sektor serta barangan yang dikecualikan GST kerana berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada golongan profesional, mereka khuatir kerajaan memberikan terlalu banyak pengecualian, sekaligus mengakibatkan matlamat GST itu gagal dalam memberikan hasil maksimum kepada negara.
Pada masa sama, apabila terlalu banyak pengecualian GST diberikan dan BR1M diteruskan, sudah pasti ia suatu tindakan yang bertentangan serta tidak logik memandangkan pengecualian barangan untuk GST jika membawa maksud suatu bentuk subsidi sama seperti BR1M, jadi mengapa perlu diwujudkan pengecualian jika BR1M masih mahu diteruskan?
Ia sekaligus menyebabkan matlamat GST itu tidak akan tercapai memandangkan pengecualian cukai sudah diberikan, tetapi bantuan kepada rakyat diteruskan dan jika kerajaan terlalu berkompromi dalam memberikan pengecualian, matlamat GST itu tidak akan tercapai kerana ia tidak mengakibatkan ketidakseimbangan dalam pelaksanaan cukai GST itu sendiri.
Kerajaan perlu melihat contoh di Australia, apabila kerajaan negara berkenaan memperkenalkan GST pada tahun 2000, dan turut memberikan pengecualian ‘exemption’ cukai dalam bidang kesihatan, pendidikan dan makanan.
Pengecualian cukai ini, sama seperti yang akan dilaksanakan di Malaysia pada April 2015 cuma sehingga kini, kerajaan masih lagi belum mengeluarkan senarai secara rasmi sektor atau industri yang akan dikecualikan daripada GST.
Australia selepas 14 tahun melaksanakan GST kini, mula mahu untuk mengkaji semula sistem cukai ini kerana merasakan cukai berkenaan sebenarnya, bukan cukai pertumbuhan seperti yang dikehendaki.
Mana tidaknya, berdasarkan Pejabat Percukaian Australia (ATO) jangkaaan hasil GST negara berkenaan melalui sektor yang dikecualikan cukai untuk tahun 2014 dan 2015 mencecah lebih AUD15 bilion atau lebih kurang RM45 bilion, ia sekaligus satu bentuk kehilangan kepada kewangan kerajaan itu sendiri.
Melalui pengalaman di Australia juga saya dapati industri di negara berkenaan sama ada dalam bidang perkhidmatan dan perindustrian banyak menggunakan sistem automasi, sekaligus membolehkan peniaga itu mendapatkan menuntut semula cukai berkenaan melalui GST daripada kerajaan.
Persekitaran perniagaan itu jauh berbeza dengan di Malaysia kerana majikan di negara ini, masih terlalu bergantung kepada tenaga buruh terutama sekali buruh asing dalam sektor perkhidmatan, perindustrian dan perladangan.
Perlu diingatkan dalam GST, majikan tidak boleh menuntut semula cukai GST jika menggunakan tenaga buruh dan ia sudah pasti akan mendatangkan kerugian kepada mereka dan kerajaan perlu menangani masalah ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus berdaya saing dengan pelaksanaan GST.
Di sinilah kerajaan BN sepatutnya berhati-hati dalam cuba memberikan janji ‘bulan dan bintang’ kepada rakyat mengenai GST dengan menyatakan bahawa sistem cukai ini, akan memberikan manfaat kepada kerajaan dan negara dalam tempoh jangka masa panjang.
Jika dilihat dengan lebih teliti serta mendalam terhadap tahap kesediaan kerajaan dalam melaksanakan GST, ia sebenarnya mempunyai banyak ruang lagi untuk diperbaiki selepas mula disebut Tun Abdullah Ahmad Badawi dua tahun selepas menjadi perdana menteri.
Selama lapan tahun, kerajaan BN berjuang untuk memperkenalkan dan melaksanakan GST tetapi disebabkan pelbagai rintangan politik, ia akhirnya hanya dapat dilaksanakan suku pertama tahun depan.
Sepatutnya, dalam tempoh itu, kerajaan BN sudah mula menggerakkan operasi belakang tabir dalam usaha memperkenalkan GST kepada rakyat dengan mendidik mereka melalui pelbagai kempen melalui pelbagai saluran media dan tidak hanya terhad kepada media massa perdana semata-mata.
Kewujudan badan berkecuali untuk memantau pelaksanaan GST seharusnya perlu disiapkan terlebih dahulu dengan mengambil contoh serta pendekatan daripada negara-negara yang sudah melaksanakan cukai ini.
Di Australia misalnya, terdapat sebuah badan bebas dikenali sebagai Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) yang memantau harga barangan dan mengambil tindakan kepada mana-mana peniaga atau industri yang cuba mengambil kesempatan untuk tidak membayar cukai atau menaikkan harga.
Pada masa sama, ACCC ini juga bertindak sebagai sebuah badan menyediakan segala bentuk maklumat serta pendidikan mengenai GST bukan sahaja untuk segenap lapisan masyarakat di negara berkenaan.
Malangnya di Malaysia, masih tidak lagi kedengaran sebuah badan yang ditubuhkan khusus bagi melindungi hak serta kepentingan pengguna serta boleh menjadi penimbangtara terhadap segala pertikaian mengenai GST apabila cukai ini, dilaksanakan.
Kita sudah mempunyai Tribunal Pengguna serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), tetapi peranan dua badan ini terlalu terhad memandangkan tiada undang-undang yang digubal khusus untuk mereka mengenai GST.
Saya juga berpendapat untuk kerajaan memikirkan pilihan menggabungkan peranan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menjadi agensi utama dalam melaksanakan cukai ini.
Ini kerana keupayaan KDRM semata-mata dalam melaksanakan GST masih boleh diragui memandangkan selama ini, jabatan berkenaan lebih dikenali sebagai agensi penguatkuasa serta hanya berpengalaman mengutip dua cukai utama iaitu cukai import dan duti eksais.
Kegagalan kerajaan, terutama sekali Kementerian Kewangan untuk meramalkan segala bentuk halangan yang akan dihadapi dalam melaksanakan GST tahun depan, terutama sekali dalam melindungi hak pengguna akan sekaligus menyebabkan kerajaan BN berhadapan dengan kemarahan rakyat.
Kerajaan BN perlu menunjukkan bahawa mereka benar-benar bersedia untuk melaksanakan GST, bukan sekadar menerangkan dengan kata-kata manis serta ayat penuh retorik bahawa cukai berkenaan akan membawa kemakmuran berpanjangan kepada rakyat.
Segala persediaan pelaksanaan GST bukan seharusnya hanya tertumpu kepada indah serta menariknya cukai ini, seperti apa yang dipaparkan di billboard atau iklan-iklan televisyen, tetapi turut membabitkan ‘backroom’ iaitu keupayaan serta kesediaan jabatan, agensi atau suruhanjaya yang akan melaksanakan cukai ini.
Saya percaya kerajaan melalui Kementerian Kewangan sudah menjalankan lawatan kerja ke negara-negara yang berpuluh tahun melaksanakan GST dan mengambil kira segala bentuk kelebihan serta cabaran yang bakal dihadapi dalam pelaksanaan cukai ini.
Pengunaan media baru seperti Facebook dan Twitter khusus untuk GST juga seharusnya sudah diwujudkan dan diwar-warkan kepada rakyat bagi memudahkan kerajaan mendapat maklum balas serta cadangan terhadap pelaksanaan GST.
Kita tidak mahu persepsi bahawa dasar atau pelaksanaan kerajaan BN yang ‘separuh masak’ mengenai GST dibuat kerana ia sudah pasti bakal menimbulkan malapetaka besar kepada parti menjelang PRU14 nanti.
Bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku, segala kepincangan serta kelemahan mengenai pelaksanaan GST perlu diambil kira secepat mungkin dan masa sudah semakin suntuk dalam memastikan asas sistem ini, benar-benar kukuh.
Sememangnya, selepas pelaksanaan GST nanti, kerajaan BN hanya mempunyai masa selama tiga tahun sahaja bagi melihat sama ada rakyat benar-benar menerima idea pelaksanaan GST, jika tidak sudah pasti BN akan menjadi parti pembangkang selepas PRU14.
Oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed
Tiada ulasan:
Catat Ulasan