Aku menyandar dibahu temanku Nordin Sakke saat anak muda pemimpin pelajar itu memuntahkan idea-idea dengan luncuran kata-kata yang cerdas. Kuliah maghrib di surau Kolej Pertama UM adalah rutin setiap malam dimana tokoh-tokoh pelajar daripada PMIUM, PMAIUM dijemput menyampaikan tazkirah. Aku ditahun pertama, manakala Zuhdi ditahun kedua pengajian, anak muda yang kelihatan serius ini adalah anak kelahiran Behrang, Perak, sekampung dengan almarhum Ahmad Boestaman, tokoh pejuang kemerdekaan.
Bermula dengan kuliah-kuliah Zuhdi yang cuba mengajak warga kampus untuk menghayati cara hidup Islam, aku mula tertarik untuk mengenali Timbalan Presiden PMIUM ini. Bermula dengan kepelikan yang luarbiasa bagaimana pelajar Fakulti Sains ini boleh mengupas tasawwur Islam dengan begitu baik, menghafal al Quran dan dihormati oleh pelajar-pelajar Pengajian Islam. Dia menjadi titik pesona bila berhimpun dalam khalayak anak-anak muda kampus dan juga menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden GAMIS, sebuah ormas mahasiswa Islam peringkat nasional.
Zuhdi adalah ulat buku tegar, sentiasa mendampingi ulama-ulama yang aktif berkuliah , menceduk ilmu diluar disiplin ilmu Sains dan ini akhirnya menghantar beliau menjadi tokoh ilmuan sehingga meraih kedoktoran dalam bidang Falsafah Sains Islam. Bahkan sekaligus mengusai bahasa Arab dan menghafal lebih separuh kandungan al Quran saat bermukim ilmu di bumi England. Aku masih terbayang sifat tegas Zuhdi semasa memimpin pelajar di kampus, beliau dikenakan tindakan oleh Universiti Malaya, apabila menjadi perancang bantahan konsert Sheila Majid. Beliau menghantar kertas isyarat berhenti berucap kepada TNC UM ketika tokoh itu merasmikan ucapan perasmian Muktamar PMIUM, sehingga TNC segera duduk tanpa menghabiskan ucapan. Zuhdi tegas kepada sesiapa pun , masa wajib ditepati hatta oleh sosok besar kampus sendiri.
Aku semakin kagum kepada anak muda pemberani ini, di asrama Pantai Puri UM pula aku tinggal sekolej dengan beliau , juga isteri beliau , Sri yang terlibat sebagai pimpinan Siswi kolej Pantai Puri. Usai bergraduat , Zuhdi menjadi Pegawai di ILHAM yang berpusat di Markas Tarbiah Taman Melewar. Bekerja dengan Jamaah Islam sepenuh masa dengan gaji dibawah tahap kemiskinan bukanlah pilihan ribuan anak muda terpelajar. Zuhdi tega dengan kemiskinan saat rakan lain memacu laju kereta import, beliau menghirup mee segera dengan penuh nikmat saat rakan lain makan dengan selesa.
Beliau disamping mengendalikan pengurusan ILHAM Pusat, terus menyambung belajar diperingkat Sarjana, juga dilantik sebagai Exco DPPP di zaman Dato Mahfuz Omar menjadi ketua Pemuda. Di alam kerjaya juga, beliau terus menjadi pemain utama DPPP, merasai jerih payah membangunkan jamaah Islam tercinta ini. Zuhdi adalah antara yang terawal terlibat dengan NGO bantuan tanpa sempadan, iaitu Muslim Care, aku bersamanya, saat Acheh di badai tsunami sehingga menewaskan 161 000 manusia. Kami bertugas di Meulaboh Acheh dan Muslim Care terus menabur bakti dan dikenali sehingga hari ini.
Aku turut menziarahinya saat beliau bermukim di UK, beliau menggerakkan pelajar-pelajar Islam disana walaupun begitu sibuk dengan desertasi kedoktoran. Aku tak malu untuk mengaku bahawa beliau juga antara inspirator untuk aku terus belajar, Zuhdi menunjukkan bahawa akal manusia tidak pernah lelah untuk menerima pelbagai bentuk disiplin ilmu, bersinergi antara ilmu Diniah dan ilmu konvensional. Apabila beliau pulang ke tanahair terus dilantik sebagai Pengarah Institut Polisi Studi DPPP, sehinggalah jawatannya kini Pengarah Operasi PPP.
Khidmat Zuhdi kepada jemaah Islam ini tak terbilang, membuat kajian lapangan,menganalisa senario politik, membaca unjuran strategik , memberikan pencerahan kepada ahli-ahli tentang pelbagai isu, menggerakkan budaya intelektual dalam gerakan Islam. Beliau pendebat yang baik, berkolaborasi antara pemikiran kritis dan analitis, pernah berdebat dengan pelbagai kumpulan sivil seperti SIS, Isma, Hizbut Tahrir, dan sebagainya, termasuk adu hujjah dengan UMNO. Aku mencadangkan supaya pihak yang meremehkan tahap intelektual Zuhdi untuk memanggil beliau ke program wacana ilmu, debat , syarahan dan sebagainya.
Maaf teman, aku mengenali Zuhdi selama 25 tahun sebagai rakan baik yang hidupnya gemar membaca buku dan menghafal al Quran. Hari ini beliau menjadi "kambing hitam" media siber dan media perdana kerana "pengkhianatan tangan" insan yang khianat, juga ketololan figura PKR untuk mengalih isu MB selangor. Maaf sekali lagi teman, aku tak mampu berpeluk tubuh melihat Zuhdi dibunuh karektor dengan begitu kejam dan aku tahu sikap degil beliau bila berumah di tepi pantai. Percayalah, permata tetap permata walau diletak dalam loji kumbahan, permata tetap bersinar walau tak disuluh gelita.
Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan