SPECIAL ADS

20 Julai 2014

Tragedi MAS: Najib sudah layak letak jawatan PM


Tragedi menimpa negara apabila pesawat Mas MH17 yang membawa 295 penumpang dan anak kapal ditembak jatuh dan berkecai sesuatu yang tidak mungkin terlupa dan akan tercatat dalam buku sejarah selama-lamanya. Ia akan menjadi trauma kepada setiap orang yang akan terbang melintasi di ruang udara negara yang sedang berkonflik.


Najib perlu ambil risiko.
Bagi negara pula kemalangan yang berlaku 17 Julai 2014 itu dilihat sebagai kemalangan berganda, kerana empat bulan sebelum ini pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang tidak dapat dikesan hingga kini.

Kejadian itu adalah rekod dalam sejarah penerbangan dunia belum pernah berlaku dimana-mana dan dialami mana-mana negara tragedi udara bersambungan. Makanya kejadian malang itu memberi signifiken yang sangat penting kepada pemimpin nombor satu negara ini, kerana kebetulan dua kejadian malang mega itu berlaku semasa beliau berkuasa sebagai PM.

Iya, kejadian itu bukan atas pintaan rakyat dan ia dirancang seperti mana kejadian-kejadian berdarah yang melukakan negara sebelum ini seperti Memali, al Maunah, atau pun pencerobohan Lahad Datu ataupun pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Kejadian itu jauh tidak bermoral kepada negara daripada kemalangan dua buah pesawat Mas itu. Tetapi kejadian-kejadian domestik itu tidak menjadi perbualan dan kajian seluruh dunia kerana kejadian seumpama itu adalah kelaziman di mana-mana negara. Ertinya gema kejadian itu tidak melantun jauh ke segenap penjuru alam.

Tengku Razaleigh.
Berbeza dengan apa yang berlaku ke atas dua buah kapal terbang Mas itu, ia menjadi perhatian  dan mengejutkan dunia. Semua mata dunia tertumpu kepada Malaysia sambil bertanya apa sudah jadi dengan Malaysia? Orang persoal tahap profesionlisme negara dan integriti pemimpinnya. Justeru sebagai perdana menteri Najib harus mengambil risiko dan tanggungjawab moral dan politik atas apa yang berlaku walaupun di luar kotak fikir dan kudrat tadbirnya.

Najib telah pun membuat tindakan segera ke atas kejadian malang itu. Semalam dia telah mengarahkan agar sidang khas parlimen diadakan untuk mengutuk kejadian itu serta menggesa badan dunia seperti PBB bertindak. Selain itu arahan juga dibuat agar bendera Malaysia dinaikan separuh tiang sebagai belasungkawa kepada mangsa. Apa dilakukan Najib tidak mencukupi.

Tujuan sidang khas parlimen itu boleh dipertikaikan. Siapakah yang hendak dikutuk sedang belum diketahui siapa yang bertanggungjawab. Kutukan tanpa mengetahui si pelakunya samalah dengan budak melastik burung secara rambang ke dalam semak. Ia tidak mengena mana-mana burung hanya terkena ranting kayu. Kutukan akan bermakna kalau Malaysia sudah mengetahui siapa yang bertanggungjawab. Apakah kutukan akan dilakukan kepada dua pihak yang sedang berkonflik, Russia dan Ukraine?

Anwar Ibrahim
Awal-awal Najib sudah mengatakan kerajaan tidak akan menunding jari kepada mana-mana pihak. Ertinya negara tidak ada keyakinan sendiri dan mengharap apa yang akan dikhabarkan oleh orang luar. Di sinilah tahap profesionalisme Malaysia sebuah negara merdeka boleh dipertikaikan.

Bila sidang khas parlimen itu diadakan, bergemercinglah dalam parlimen nanti kutukan demi kutukan dan cacian demi cacian yang tidak tersasar kepada mana-mana pihak. Tentu juga akan keluar berbagai teori dan andaian yang sedikit pun tidak akan cuba memaling kepada diri sendiri. Saya jamin wakil kerajaan akan membela dan melindungi kelemahan negara dan Najib ekoran kejadian itu bagaikan melindungi burung merak yang menjadi species dikawal oleh Perhilitan.

Percayalah tindakan itu tidak memberi apa-apa makna kalau yang kena kutuk tidak diketahui. Sidang khas itu hanya menghabiskan wang sahaja kalau setakat wakil-wakil bangun melindungi kelemahan kerajaan dan pemimpin nombor satu. Jadilah sidang parlimen khas itu sebagai retorik atau siluan Pak Kaduk. Justeru adalah lebih baik sidang itu mencari penyelesaian lebih bermakna apa yang berlaku di sebalik isu berkenaan dengan mengarahkan kepada kelemahan sendiri sebelum menyalahi takdir itu.

Misalnya parlimen boleh membincangkan kreadibiliti perdana menteri dan jemaah kabinetnya. Apakah seorang perdana menteri dan kabinet dalam menghadapi risiko dan musibah sebegitu besar hanya memanggil sidang khas parlimen atau menghantar dua tiga orang penyiasat. Atau cukup merasa prihatin apabila ia dihubungi oleh Ban Ki-Moon dan Vlidimir Putin? Atau pun cukup setakat mengeluarkan keluhan kita marah, kesal dan simpati?

Dalam tragedi itu Najib bukan saja perlu kepada tanggungjawab nasional meredakan kemarahan, kesalahan dan kekecewaan rakyat negara ini atas apa yang berlaku, tetapi juga tanggungjawab antarabangsa kerana tragedi itu melibatkan warga banyak negara. Sebagai pemimpin beliau kena redakan perasaan sedih dan dukacita keluarga mangsa. Mangsa itu bukan saja daripada MH17 tetapi daripada MH370 juga.

Rasa kesal dan sebak rakyat Malaysia berhubung kejadian itu semakin besar. Ia tidak boleh ditutup dengan beberapa helai wang BR1M atau pun wang bayaran saguhati kerana harga getah turun, atau bonus kepada peneroka Felda sebanyak RM200. Kekesalan dan kesedihan angkara tragedi itu dialami seluruh dunia.

Paling penting juga Najib perlu membuat postmortem dan analisa secara politik dan saintifik kenapa pesawat Mas milik Malaysia menjadi sasaran. Kalau ia sengaja ditembak Najib perlu menjelaskan sebab musabab dan motifnya. Kenapa Mas? Kegagalan dalam menjawab persoalan ini sahaja sudah tidak melayakkan Najib untuk terus memimpin negara ini.

Mungkin ada yang persoalkan dimanakah relevannya kalau Najib berundur. Pengunduran Najib tidak akan mengembalikan keadaan. Ia tidak akan dapat menuntas segala masalah. MH370 belum tentu akan kembali terbang ke KLIA, atau pun pihak yang bertanggungjawab menembak MH17 akan muncul membuat pengakuan kalau Najib berundur. Bodoh MSO?

Ia betul. Tetapi emosi manusia akan merasa lega kalau Najib berbuat begitu. Dunia akan melihat pemimpin Malaysia bertanggungjawab atas malapetaka yang berlaku. Setidak-tidaknya mangsa merasakan duka mereka terubat apabila ada sikap kebertanggungjawaban (responsibility) yang ditunjukkan begitu. Psikologisnya begitu. Ini tidak dapat dielakkan kerana Najib adalah PM bukannya Anwar Ibrahim ataupun Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain. Najib juga perlu memulihkan semangat dan integritinya sebagai pemimpin dengan tindakan itu.

Dengan terus menjadi PM, mengisarkan air liur mengutuk kejadian itu, menyatakan sejuta kekesalahan dan meminta keluarga mangsa bersabar ia tidak memberi apa-apa impak. Malahan dunia akan bertanya apa jadi dengan perdana menteri Malaysia, apakah tidak ada perasaan kesal dan tanggungjawab? Lebih malang lagi orang akan mengaitkan kedegilan atau hati batu (heart of stone) Najib itu dengan perangai dan tabii bangsa Melayu. Dunia akan mengatakan bahawa bangsa Melayu degil dan tidak ada perasaan bertanggungjawab ke atas sesuatu kejadian separah dan seduka tragedi dialami kedua-dua kapal terbang Mas itu.

Najib kena mahasabah perkara ini kerana ia lebih penting kepada maruah bangsa dan negara. Jangan kerana sayang kepada kedudukan dan glamour dengan kedudukan sebagai PM, atas ajakan dan dodoian isteri, maka hal-hal lebih penting begitu tidak dipedulikan. Lupakan kepada agenda diri sebaliknya berilah ruang kepada negara terus sihat dan bermaruah.

Apa lagi Najib tunggu.. letaklah jawatan, ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku, dan jangan menjadikan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia kebas dengan kejadian-kejadian seperti itu (pinjam istilah A Kadir Jasin). Hendaknya dalam sidang khas parlimen perbahasan bukan saja mengutuk kejadian itu tetapi turut sama mendedahkan kelemahan Najib sebagai perdana menteri dan akhirnya sepakat mendesak beliau berundur dengan terhormat kalau pun tidak semua anggota kabinet letak jawatan. 

Oleh Mohd Sayuti Omar

Tiada ulasan: