SPECIAL ADS

27 Julai 2014

Sultan Selangor, Raja Muda difitnah kerana pertahan Islam

Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi batu penghalang ke atas fahaman pluralisme dan agenda lebih besar, kata Utusan Malaysia hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Julai, 2014.
Kelantangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam mempertahankan syiar Islam daripada digugat pihak tertentu ‎menyebabkan beliau dan anakandanya, Raja Muda Tengku Amir Shah, menjadi mangsa fitnah, kata Utusan Malaysia hari ini.
Kolumnis Awang Selamat berkata penyebaran berita mengenai Tengku Amir yang kononnya murtad daripada agama Islam itu mempunyai kaitan dengan gerakan agama dan juga politik yang mahu melepaskan kemarahan kepada Sultan Selangor.
"Ada harga yang perlu dibayar bagi sebuah keberanian. Itulah yang dialami oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila anakandanya, Raja Muda Tengku Amir Shah difitnah ke tahap murtad sebagaimana yang disiarkan sebuah laman web.
"Laporan tersebut mencetuskan kegemparan tetapi ramai  faham itu adalah mainan jahat pihak yang tidak senang terhadap peranan istana Selangor dalam mempertahankan kepentingan Islam," katanya dalam edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, hari ini.
Awang Selamat berkata Sultan Selangor menjadi batu penghalang ke atas fahaman pluralisme dan agenda lebih besar serta berbahaya.
"Golongan inilah yang perlu diawasi dan dipantau oleh pihak berkuasa kerana ia sudah menjadi isu ancaman keselamatan dan ketenteraman. Merekalah puak 'kaduk naik junjung', bertindak baling batu sembunyi tangan," katanya.
Menurut Awang Selamat, Sultan Selangor pastinya sedar keberanian baginda apabila lantang membangkitkan isu kritikal dalam mempertahankan agama Islam pastinya akan mengundang serangan balas oleh pihak terbabit.
Awang Selamat menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan laporan palsu itu dan membawa mereka ke muka pengadilan.
"Memandangkan fitnah tersebut bertujuan mahu menghina institusi raja yang sangat besar implikasinya maka diharap pihak polis dan SKMM dapat mengesan sesiapa yang bertanggungjawab dan mengheretnya ke muka pengadilan. 
"Individu berkenaan, malah dalangnya tidak boleh terlepas. Kepada baginda, usah gundah dan khuatir. Sesiapa yang menjaga kepentingan dan kesucian agama Islam, Allah akan memeliharanya."
Laman web palsu World News Daily Report mencetuskan kegemparan di kalangan pengguna Internet mendakwa Tengku Amir menukar agama ke Katolik minggu lalu. 
Dalam laporannya bertarikh 24 Julai, World News Daily melaporkan: "Satu-satunya anak lelaki dan waris Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Amir Shah, mengejutkan masyarakat Islam dunia dengan berita yang majalah People's sifatkan 'kisah benar Romeo dan Juliet zaman ini'."
Laporan itu turut menyebut, Raja Muda Selangor itu meletakkan semua jawatannya dan peluang mewarisi takhta kerana ingin mengahwini model dan bintang terkenal Sepanyol, Christina Gomez.
‎Selain itu laporan palsu itu mendakwa "upacara pembaptisan bekas umat Islam itu yang diadakan minggu ini di Santa Maria Cathedral, di Braga, Portugal mendapat kritikan hebat umat Islam sedunia ke atas bekas waris takhta Selangor itu" TMI

Tiada ulasan: