TIGA hari selepas pesawat MH17 dengan 295 penumpang dan anak kapal yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di tembak jatuh di Ukraine, anggota pasukan mencari dan menyelamat termasuk pasukan penyiasat dari Malaysia masih belum dapat ke lokasi kejadian.
Malah, berdasarkan laporan media asing, kawasan yang sepatutnya di kawal ketat itu boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja termasuk pendudukan kampung dan orang ramai yang lalu untuk mengambil gambar dan melihat dari dekat kawasan tragedi yang mengorbang semua 295 orang dalam pesawat malang itu.
Lebih teruk ada yang bertindak menggeladah bagasi mangsa dan mengambil barang berharga termasuk kad kredit.
Pekerja-pekerja penyelamat yang tidak diketahui dari mana datangnya perlahan-lahan mengalihkan mayat dari kawasan pesawat jatuh dan memasukkan ke dalam beg plastik hitam, tetapi kemudiannya hanya dibawa dan diletakkan di tepi jalan di kampung Grabovo.
Apa akan jadi kepada mayat itu sekarang? Apa akan jadi kepada mangsa, kepada anak-anak kecil, adik-beradik, anak-beranak, suami-isteri yang terkorban dalam kejadian itu? Bagaimana pula perasaan keluarga mangsa di seluruh dunia apabila melihat gambar-gambar mayat mangsa MH17 di dalam beg plastik hitam seperti itu yang hanya diletakkan di tepi jalan?
Menurut laporan agensi berita asing, situasi di Grabovo mengelirukan. Lelaki-lelaki bersenjata tiba dengan satu deretan kereta kemudiannya berlalu pergi, termasuk sebuah kereta yang dicat dengan warna biru dan kuning bendera Ukraine, dipercayai daripada bahagian kecemasan kerajaan Ukraine. Semua mereka bersenjata.
Namun, tidak ada siapa berbuat apa-apa dengan mayat-mayat mangsa. Tidak ada bunyi siren ambulans seperti apa yang biasa kita lihat dan dengar jika berlaku mala petaka seperti itu.
"Kamu sekarang berada dalam kawasan perang, jadi jangan risau dengan lelaki yang bersenjata," kata salah seorang pemberontak sambil memberitahu mayat-mayat mangsa mungkin akan dibawa ke rumah mayat di Snezhnoe atau Donetsk. Tetapi dia sendiri tidak pasti.
Ada juga dakwaan daripada pihak Ukraine bahawa beberapa mayat telah hilang. Ketika sebahagian besar mayat ditutuk dengan plastik hitam, terdapat anggota badan mangsa yang dikaut dan dimasukkan ke dalam guni sahaja.
Cuaca musim panas Ukraine pula menyebabkan mayat cepat mereput yang menyebabakan kawasan itu berbau busuk yang menurut para wartawan yang sudah tiba di sana sudah tidak tertanggung untuk menghidu.
Sumber Kementerian Luar Ukraine berkata, mayat akan dibawa ke bandar Karkiv di timur negara itu untuk bedah siasat, dan berjanji akan mewujudkan pusat maklumat dan menyediakan kemudahan penginapan percuma untuk sanak saudara mangsa.
Tetapi jika dilihat kepada senario di tempat kejadian, perkara itu tidak mungkin akan berlaku, tidak ada tanda-tanda pihak pemberontak akan memberi kebenaran secara meluas untuk masuk ke kawasan itu.
Para wartawan asing yang tiba ke lokasi itu tidak dibenarkan oleh pemberontak, dan pergerakan mereka sentiasa di kawal oleh orang yang bersenjata. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan