Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim percaya mahkamah akan menolak tuntutan saman Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) terhadap portal Malaysiakini kerana butir peribadi Najib tidak sama.
Mat Zain dalam surat terbuka kepada Peguam Cara Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, dalam tuntutan itu, Najib memberikan nama penuhnya sebagai Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak, nama sama yang dilafazkannya sendiri ketika mengangkat sumpah jawatan perdana menteri di hadapan Agong pada April 2009 dan Mei 2013.
Namun, ketika membuat ikrar dihadapan Pesuruhjaya Sumpah semasa membuat affidavit pada 21 September 2011, perdana menteri memberikan nama penuh beliau sebagai Najib sahaja, tanpa perkataan Mohd.
Malah dalam Affidavit Pembetulan pada 23 September 2011, PM hanya membetulkan tarikh beliau berjumpa dengan pengadu Liwat II, Saiful Bukhari Azlan sahaja, tetapi mengekalkan nama beliau sebagai Najib dan bukan sebagai ‘Mohd Najib’.
Begitu juga dalam affidavit Rosmah Mansor bertarikh 21 September 2011 yang mengikrarkan nama suami beliau sebagai Najib dan bukan Mohd Najib, katanya.
"Persoalan sama ada ‘Najib’ dan ‘Mohd Najib’ adalah orang yang sama atau tidak, adalah tidak berkenaan dalam perkara ini.
"Persoalan yang mustahak ialah, sama ada terdapat ketidaksamaan butir peribadi perdana menteri dalam pernyataan tuntutan beliau, dengan butir peribadi yang diikrarkan dalam affidavit beliau dan isteri serta dokumen rasmi Mahkamah Tinggi yang berkaitan atau pun tidak," katanya.
Salinan surat terbuka itu juga dihantar ke pejabat rasmi perdana menteri di Putrajaya hari ini.
Menurut Mat Zain, Malaysiakini tidak perlu bimbang sama ada pihak yang mendengar kes adalah seorang Pesuruhjaya Kehakiman atau pun Hakim Mahkamah Tinggi.
Katanya, ini disebabkan Hakim Mahkamah Tinggi itu terpaksa akur dan patuh kepada keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan; Datuk Aziah Ali, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd Zawawi Salleh dalam kes Pendakwa Raya melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Januari lalu.
"Mahkamah Rayuan dalam perenggan 16 alasan penghakiman memutuskan bahawa Akuan Bersumpah (SD) Mat Zain yang diikrarkan pada 7.10.2013 seperti yang dikemukakan Anwar tidak boleh diterima pakai sebagai keterangan kerana butir peribadi dalam SD tidak sama dengan butiran yang terdapat dalam tuntutan saya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam saman No:MT1-22-1386-2008 dan dalam rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).
"Sama ada keputusan Mahkamah Rayuan sedemikian itu khilaf atau sebaliknya, adalah persoalan berasingan.
"Perkara penting ialah Mahkamah Persekutuan juga mengesahkan keputusan tersebut, apabila tidak mengusik atau mengubah keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan," katanya.
Katanya, berdasarkan itu, maka hakim Mahkamah Tinggi yang akan mendengar tuntutan saman Umno dan Najib terpaksa menolak kes itu memandangkan terdapat perbezaan (discrepancies) butir peribadi iaitu, nama penuh beliau sendiri dalam tuntutan tersebut dengan dokumen-dokumen seperti berikut;
a) Nama penuh perdana menteri dalam affidavit yang beliau ikrarkan sendiri pada 21.9.2011 dan 23.9.2011 dalam kes Pendakwa Raya lawan Dato Seri Anwar Ibrahim, dalam Perkara Permohonan Jenayah No:44-264-09/2011 (Sodomy II).
b) Nama penuh perdana menteri dalam affidavit yang diikrarkan oleh isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor pada 21.9.2011 dalam perkara sama diatas dan;
c) Nama penuh perdana menteri dalam sapina dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 9.9.2011 dalam kes sama, yang diakui diterima oleh beliau.
"Berdasarkan hujah diatas maka Mahkamah Tinggi yang akan mendengar kes itu nanti tiada pilihan melainkan menolak kebolehterimaan pernyataan tuntutan Najib, selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan.
Katanya, Najib dan Umno wajib menunjukkan teladan yang betul dengan menghormati keputusan mahkamah tertinggi negara walaupun penghakiman mereka mendatangkan kemudaratan terhadap diri mereka sendiri.
Beliau berkata, jika diterima pakai, Najib juga mungkin akan menghadapi masalah sama dalam menjawab kes saman balu penyiasat persendirian, P Balasubramaniam dan beberapa kes lain.
"Saya berpendapat agak berat untuk PM Najib keluar dari kemelut ini.
"Jika kesilapan itu melibatkan tarikh atau nombor kad pengenalan atau sesuatu fakta, ianya boleh dikatakan sering berlaku yang mudah diperbetulkan tetapi jika melibatkan nama sendiri dan dibuat secara bersumpah, maka ini adalah kesilapan yang luar biasa dan jarang berlaku, tambahan pula melibatkan seorang perdana menteri dan isterinya.
"Apa pun kita tunggu dan lihat posisi yang akan diambil oleh Perdana Menteri dalam menangani isu yang dikemukakan ini," katanya.
Pada 24 Jun lalu, Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor Malaysiakini Steven Gan dan Ketua Pengarang Fathi Aris Omar memfailkan permohonan meminta Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wira Kamaludin Md Said menarik diri daripada mendengar saman fitnah atas alasan bahaya berat sebelah yang nyata.
Mereka memohon supaya Kamaludin ditukar dengan seorang hakim Mahkamah Tinggi untuk mendengar kes saman fitnah tersebut.
Permohonan mereka akan didengar 3 September ini.
Pada 30 Mei lepas, Najib selaku plaintif kedua memfailkan saman atas kapasiti peribadi manakala Ab Rauf sebagai plaintif pertama bagi pihak Umno.
Plaintif mendakwa defendan melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk “A case of the PM reaping what he sows” dan “How much will Najib spend to keep Terengganu?” di bawah ruangan Yoursay di laman portal Malaysiakini pada 14 Mei lepas.
Najib mendakwa perkataan fitnah itu mencemarkan reputasinya sebagai ahli politik, selaku presiden Umno dan perdana menteri.
Ekoran itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang pihak defendan, pembantu atau ejen mereka daripada berbicara lebih lanjut atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel-artikel itu atau seakan-akan dengannya.
Mereka juga menuntut suatu perintah supaya pihak defendan membuat permohonan maaf secara bertulis untuk disiarkan dalam akhbar serta kos.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan