SPECIAL ADS

24 Julai 2014

MB: Selangor bukan alat ke Putrajaya


Hasrat menjadikan Selangor sebagai asas Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya mungkin tidak melambangkan hasrat rakyat negeri itu, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, pilihan rakyat dalam isu itu perlu diteliti memandangkan mereka telah memilih pasukan yang diketuainya dalam pilihan raya umum lalu, yang melonjakkan penguasaan Pakatan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Adalah perlu walaupun Pakatan ada bercita-cita untuk menggunakan Selangor sebagai asas pelancaran ke Putrajaya tetapi penting untuk memberitahu rakyat bahawa rakyat Selangor mungkin tidak memikirkan Selangor akan digunakan sebagai alat ke Putrajaya.

“Walaupun rakyat bersetuju bahawa Pakatan terus berkembang tetapi tidak boleh diperalatkan untuk dijadikan batu loncatan kepada Putrajaya.

“Kalau ini nak dijadikan adalah baik meminta mandat semula kepada rakyat Selangor,” Khalid dipetik sebagai berkata dalam wawancara eksklusif dengan media rasmi negeri Selangorkini hari ini.

Khalid berkata demikian ketika ditanya pandangannya berhubung isu penukarannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah yang diumumkan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Keputusan pertukaran itu telah dibentangkan dalam Majlis Presiden Pakatan dan kini menunggu keputusan PAS dan DAP, dijangka selepas Aidilfitri.

Projek Langkah Kajang sebelum ini diuar-uarkan sebagai sebahagian strategi bagi menawan Putrajaya.

Sementara itu, dalam wawancara sama, Khalid berkata, perkara itu jika tidak diselesaikan dengan penuh tertib dan penuh adab akan menjejaskan Pakatan Selangor serta peluang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jadi, saya berdoa harap perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab dan mengikut lunas enakmen kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Beliau juga berkata, enakmen Selangor memperakui bahawa sultan Selangor adalah penentu jawatan itu. MK


Tiada ulasan: