SPECIAL ADS

20 Julai 2014

MB Sgor: Wan Azizah pilihan Anwar?

Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau Timbalannya, Mohamed Azmin Ali yang bakal menjadi Menteri Besar Selangor?
Tanda tanya semakin kuat setelah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan perubahan pentadiran kerajaan negeri Selangor bakal berlaku dalam tempoh terdekat.
Pas Selangor dan Pas pusat juga dikatakan memberi syarat kepada rakan gabungan Pakatan Rakyat (PR) itu, jika mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diganti jawatan Timbalan Menteri Besar (TMB) perlu diwujudkan semula.
Jawatan TMB itu adalah untuk Pas, bukan untuk Abdul Khalid. PR Selangor pula perlu menghormati Pas kerana parti itu dengan DAP masing-masing mempunyai 15 kerusi iaitu lebih satu kerusi berbanding 14 kerusi yang diperolehi PKR.
Namun, mengikut Perlembagaan Tubuh kerajaan Negeri Selangor, orang bukan Islam tidak boleh menjadi menteri besar. Dengan itu, Pas yang mempunyai jumlah kerusi sama banyak dengan DAP sepatutnya mengetuai kerajaan Selangor, tetapi atas dasar setia kawan, Pas menyerahkan kepada PKR.
PKR pula menyambung perkhidmatan Abdul Khalid untuk penggal kedua sebagai menteri besar. Namun setahun selepas itu, berlaku krisis yang teruk dalam pentadbiran dan kepimpinan parti itu.
Abdul Khalid pada awal Januari lalu membuat keputusan drastik untuk tidak menyambung kontrak Mohamed Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Dari situ, satu rentetan demi rentetan dalam bentuk desakan berlaku, yang mana penyokong Mohamed Azmin, yang turut melibatkan konspirasi senyap daripada beberapa ADUN PKR telah membuat tekanan ke atas Abdul Khalid.

Tekanan itu memaksa Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Kelang mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memohon maklum bahawa beliau akan menjadi menteri besar sehingga penggal Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) berakhir, yang dijangka Mei 2018.
Maknanya, selagi Dewan Rakyat tidak dibubarkan untuk PRU 14, selagi itu Abdul Khalid kekal sebagai menteri besar. Itu yang dijanjikan oleh Abdul Khalid kepada baginda sultan dan yang dimaksudkannya kepada kepemimpinan PR Selangor.
Isu mahu Abdul Khalid digantikan timbul sebelum PKR memulakan proses pemilihan kepimpinan dan semakin serius selepas Ketua Cabang Kuala Selangor itu gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan semula parti itu bulan lalu.
Sejak itu, pelbagai suara desakan kedengaran, yang semuanya datang daripada ADUN dan sayap parti yang pro Mohamed Azmin.
Lebih ketara apabila Angkatan Muda Keadilan (AMK) memasang beberapa helai kain rentang dengan perkataan, “Tahniah YB. Azmin atas pelantikan Menteri Besar Selangor yang baru”.
Kain rentang itu dipasang di laluan strategik di beberapa daerah di Selangor sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong Abdul Khalid, yang bertindak membuang kain rentang itu.
Mohamed Azmin ketika ditanya wartawan berhubung kain rentang itu, seperti biasa memberitahu, beliau tidak tahu menahu dan menganggapnya sebagai ‘tidak wajar’ kerana turut mengheretnya dalam kemelut menjatuhkan Abdul Khalid.
Sungguh pun begitu, Mohamed Azmin tidak boleh berbohong dalam niat dan hasratnya hendak menjadi menteri besar, kerana sejak PR menang pada PRU 12 tahun 2008 lagi beliau mengharapkan namanya dicalonkan oleh Anwar.
Malangnya, Anwar yang ketika itu mahu mempertontonkan kebijaksanaannya berpolitik, telah melantik Abdul Khalid ke jawatan menteri besar, dengan harapan ADUN Pelabuhan Kelang itu memegangnya untuk tempoh satu penggal.
Bagaimanapun, apabila masuk penggal kedua, Abdul Khalid dilihat masih seronok dengan jawatan itu dan mahu terus kekal memegangnya. Tindakan Abdul Khalid itu menimbulkan kemarahan penyokong Mohamed Azmin dan rakan-rakan ADUN yang pro beliau.
Hari ini, nada Anwar dalam siapa bakal pengganti Abdul Khalid ada kelainan pula. Beliau dalam satu kenyataan kepada wartawan semalam, membayangkan kemungkinan isterinya, Dr. Wan Azizah akan menduduki kerusi menteri besar.
Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Selangor pula tidak melarang wanita menjadi menteri besar dan ini menguatkan lagi spekulasi bahawa Dr. Wan Azizah paling layak menduduki kerusi nombor satu dalam pentadbiran Selangor.
Namun, Pas Selangor tetap dengan syaratnya, iaitu mewujudkan jawatan TMB jika PKR mahu segala kehendaknya dituruti.
Malaysia Gazzete

Tiada ulasan: