SPECIAL ADS

10 Julai 2014

“Kontroversi berlarutan jawatan MB jejas pembangunan negeri” kata Anwar Ibrahim

anwar

KUALA LUMPUR : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebarang bentuk pertukaran Menteri Besar Selangor perlu dibuat melalui konsensus bersama PAS dan DAP walaupun jawatan itu bukan milik peribadi.

Katanya, jawatan tersebut adalah mandat daripada rakyat yang diberikan melalui parti yang turut membabitkan proses pemilihan parti.

“Ini bukan soal memilih untuk menerima tuntutan orang tertentu atau mengekalkan kedudukan ini kerana ia bukan kerusi peribadi bagi sesiapa. Kerusi ini adalah mandat daripada rakyat melalui parti dan melalui proses pilihan raya parti.

“Dalam konteks Pakatan Rakyat, walaupun ini kerusi Menteri Besar PKR, kita harus runding dan capai kata sepakat dengan DAP dan PAS baru kita boleh pertahankan semangat muafakat ini,” katanya di Kelab Diraja Selangor semalam.

Beliau mengakui kontroversi yang berlarutan itu boleh memberikan kesan kepada pentadbiran dan pembangunan negeri.

Katanya, jasa dan pengorbanan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mengangkat martabat Selangor perlu dilihat kerana tatakelola yang diamalkan selama ini tidak pernah dilakukan menteri besar lain termasuk daripada Barisan Nasional (BN).

“Saya juga tidak setuju cara Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat serangan.

“Bila serangan jadi polemik politik, itu tidak memberi keadilan kepada isu terbabit dan sumbangan Khalid khususnya kepada Selangor. Pengorbanan dia yang besar untuk mengangkat martabat negeri,” katanya.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga yang turut hadir menyatakan kebimbangan dengan perkembangan yang berlaku di Selangor dan berharap kemelut itu dapat diselesaikan segera.

Sejak kebelakangan ini, wujud desakan supaya ADUN Pelabuhan Klang itu meletakkan jawatan supaya digantikan dengan ‘individu yang lebih layak’.

Namun, Abdul Khalid tetap dengan pendirian untuk tidak membuat sebarang spekulasi termasuk dakwaan beliau bakal digantikan melalui usul tidak percaya.

Tiada ulasan: