Pelaksanaan undang-undang Islam (hukum hudud) masih belum dapat diterima majoriti kaum Melayu selepas kajian Merdeka Center mendapati 58% mengatakan negara belum bersedia.
Pandangan yang sama dipersetujui 59% responden Cina dan 61% responden India yang mengambil bahagian dalam kajian itu, melibatkan 1,009 pengundi berdaftar terdiri daripada 60% responden Melayu, 31% Cina dan 9% India.
"Secara keseluruhannya, 59% responden percaya negara belum bersedia melaksanakan hukum hudud.
"Hanya 25% daripada keseluruhan responden dan 30% daripada responden Melayu percaya negara ini sudah bersedia untuk pelaksanaan hukum hudud pada masa ini," kata Merdeka Center dalam satu kenyataan hari ini.
Kajian itu juga mendapati kaum Melayu berbelah-bahagi dalam mempercayai hukum hudud boleh dilaksanakan secara adil.
"Di kalangan responden Melayu, hanya 44% percaya pelaksanaan hukum hudud boleh dilaksanakan secara 'adil' manakala 43% berpendapat sebaliknya."
Selain itu, segelintir kecil percaya undang-undang Islam itu boleh dilaksanakan secara adil.
"Hanya 32% percaya hukum hudud boleh dilaksanakan secara adil berdasarkan persepsi responden terhadap 'keupayaan institusi kehakiman dan penguatkuasaan' pada masa ini," kata laporan.
Responden yang paling tinggi menentang pelaksanaan hudud adalah kaum India 69% dan Cina 65%, sementara kaum Melayu pada 20%.
Mengenai pemahaman pelaksanaan hudud, kajian mendapati hanya 56% memahaminya dengan peratusan paling tinggi adalah kaum Melayu.
"Keseluruhannya, hanya 56% responden menyatakan mereka faham apa yang dimaksudkan oleh hukum hudud.
"Peratusan yang faham ini merangkumi 67% responden Melayu, 38% responden Cina dan 51% responden India," katanya lagi.
Kajian tersebut dijalankan dari 12 hingga 21 April tahun ini. Temubual dilakukan melalui telefon.
Isu hudud kembali menjadi topik hangat selepas kerajaan PAS Kelantan bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya dan bercadang membawa usul persendirian ke Dewan Rakyat untuk mendapatkan restu sebelum melaksanakannya.
Putrajaya juga bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal mengenai pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan susulan perkembangan terbaru tersebut.
Bagaimanapun, isu itu menerima tentangan daripada rakan komponen BN sendiri iaitu MCA dan Gerakan, malah DAP juga menentang keras. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan