SPECIAL ADS

10 Julai 2014

Kasihan Khalid diperlakukan sebegitu rupa

Abdul Khalid Ibrahim
PALING tidak diduga Tan Sri Khalid Ibrahim menghadapi trauma politik getir di bulan Ramadan yang mulia ini daripada orang partinya sendiri - bulan puasa yang mendidik warga umat termasuk orang politik mengekang nafsu politik melampau.

Apabila Khalid difitnah telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang kemudian dinafikan oleh beliau sendiri, membayangkan betapa keserakahan nafsu politik untuk berkuasa sesetengah pihak amat kuat sekali.

Rupa-rupanya Kajang Move yang meletakkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai calon yang menang tidak habis di situ sahaja. Ia dikatakan bakal menjadi MB menggantikan Khalid. Ia berlanjutan dengan pemilihan di peringkat cabang yang menyebabkan penentangan terhadap Khalid memuncak dan kekecohan terjadi.

Kekalahan Khalid di Cabang PKR Kuala Selangor meningkatkan nafsu amarah politik lawannya untuk berkuasa.

Pelik juga sesetengah kepimpinan utama PKR yang pernah mendapat tarbiyah Islam boleh membenarkan ini berlaku sedangkan mereka ada kuasa menghentikan teladan buruk di bulan Ramadan.

Dr. Wan Azizah selaku presiden memang terkenal rapat dengan Khalid. Tetapi beliau pun tidak mampu berbuat sesuatu untuk menghentikan kemelut yang semakin memuncak.
Fitnah kepada Khalid pada hemat penulis adalah helah politik untuk berkuasa di kalangan yang berkepentingan.

Pemimpin yang adil ialah yang berpihak kepada kebenaran. Kalau pemimpin parti yang memakai nama keadilan tidak memihak kepada yang adil dan yang benar, khalayak menjadi tambah celaru dan keliru.

Harus ada azam politik di bulan Ramadan ini untuk politik yang lebih manusiawi mengambil tempat. Kita mengkritik orang lain seolah-olah melakukan ‘matlamat menghalalkan cara’ sedangkan perkara itu berlaku di kalangan reformis yang kononnya ingin melakukan perubahan.

Kalaulah Khalid silap mentadbir Selangor, mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonominya tidak dipersalahkan juga. Kalaulah dengan persefahaman isu air dengan Kerajaan Pusat menjadi isu, Khalid melakukannya untuk kepentingan rakyat Selangor.

Apakah kebencian PKR terhadap UMNO dan BN menyebabkan rakyat menjadi derita sedangkan isu air menuntut persefahaman Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor. Ianya suatu langkah bijaksana.

Khalid terlibat dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR. Takdirnya beliau kalah, ianya menyebabkan banyak pihak yang berkepentingan bertambah ghairah berhajatkan kerusi MB itu.

Lalu Khalid diserang dari segala arah seolah-olah parti tidak mempunyai disiplin yang jelas untuk mengambil tindakan. Khalid tidak dilayan dengan adil oleh pihak kepimpinan PKR sendiri. Seluruh gelagat politik yang ditunjukkan oleh PKR menjadi tontonan dan penilaian khalayak.

Dikatakan Khalid akan meletakkan jawatan selepas hari raya nanti. Ada mesyuarat pada 15 Januari lalu memutuskan peralihan kuasa. Kalau ianya tidak benar, Dr. Wan Aziziah perlu menafikan dan Anwar sebagai Ketua Umum perlu tampil meredakan keadaan.

Sekiranya Khalid tidak meletakkan jawatan selepas hari raya, apakah kemungkinan undi tidak percaya akan terjadi di Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Di kalangan ADUN PKR sendiri sudah tentu ada yang menyebelahi Khalid. Takdirnya ADUN Pas memihak kepada Khalid, keputusan banyak bergantung kepada sikap ADUN DAP dan juga pendirian wakil Barisan Nasional (BN).

Daripada ‘Kajang Move’ yang penuh tanda-tanya ke pemilihan peringkat cabang yang sehingga kini belum lagi berakhir hinggalah usaha mengundurkan Khalid, menimbulkan banyak tanda tanya tentang aliran politik PKR.

Pertanyaan utama ialah siapa akhirnya akan menjadi Timbalan Presiden PKR? Kalau Khalid kecundang, usaha untuk menggantikannya sebagai MB akan lebih dipergiatkan.
Apakah ini gambaran politik sihat dan politik contoh? Sedangkan di bulan Ramadan, keihsanan dalam politik tidak ada, betapa pula hari-hari biasa. Politik jatuh-menjatuh akan menjadi lebih ganas lagi.

Ianya adalah gambaran makro tentang daya kepimpinan PKR yang sudah hilang arah, menyebabkan kekecohan terus terjadi baik dalam pemilihan cabang mahupun isu MB Selangor. UM

Tiada ulasan: