Menurut beliau, antaranya ialah berhubung perjanjian bebas cukai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
“Perjanjian 29 bab ini merbahaya walaupun pengecualian diberi kepada usaha memperbaiki kedudukan Bumiputera.
“Perjanjian ini lebih tertumpu kepada sekatan terhadap China dan campur tangan dalam hal ehwal ekonomi dalaman negara,” katanya menerusi laman blog peribadinya, Chedet, semalam.
Katanya, kerajaan juga belum beri maklum balas berkenaan tuduhan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Perkara yang jadi tanda tanya bukan soal kenaikan harga elektrik kerana pembelian stesen jana kuasa tetapi disebabkan harga belian yang amat tinggi dengan hutang dan bunganya tertinggi pernah dikenakan kepada kerajaan dan komisen 11 peratus kepada Goldman Sach,” katanya merujuk kepada pelaburan dibuat 1MDB.
Dr Mahathir turut mempersoalkan tindakan 1MDB membuat pelaburan dan menyimpan wang di Cayman Islands.
“Cayman Islands adalah pusat operasi dana lindung nilai dan dagangan mata wang. Sementara orang atau syarikat biasa gemar melabur dalam dana lindung nilai dengan pulangan tinggi, kerajaan biasanya tidak melabur dalam dana lindung nilai kerana ia adalah satu jenis judi,” katanya.
Katanya, kerajaan sebelum ini pun selalu ditawar melabur dalam dana lindung nilai dengan jaminan pulangan 30 peratus namun akan ditolak.
Beliau turut mengingatkan satu daripada syarikat dana lindung nilai terbesar dunia, Long-Term Capital Management L.P rugi besar dan mengheret bank dan pelabur ke arah muflis.
"Ia diselamatkan oleh pelabur yang terdiri daripada (pelabur di) Wall Street dan kerajaan Amerika Syarikat.
"Berjudi bukan cara kerajaan mencari dana, sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya.
Katanya, selain itu, antara keluhan rakyat yang tidak disentuh semasa Perhimpunan Agung Umno minggu lalu adalah sistem pelajaran yang memisahkan orang miskin dengan orang kaya.
"(Pelajar) yang kaya pergi ke sekolah Inggeris, mendapat ilmu-ilmu yang penting dan mudah mendapat kerja. (Pelajar) yang miskin ke sekolah kebangsaan, dengan penguasaan bahasa Inggeris yang rendah dan ketinggalan dalam bidang sains dan ilmu matematik tinggi. Mereka tidak mudah mendapat kerja dengan upah yang tinggi.
"Dengan ini jarak antara miskin dengan kaya akan menjadi lebih luas," katanya.
Katanya, amalan mempermudahkan kelulusan dalam sesuatu peperiksaan diakui langkah popular dan disukai ramai namun katanya, apa yang disukai ramai itu selalunya tidak baik bagi mereka, seperti pepatah Melayu “menang sorak, kampung tergadai”. SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan