SPECIAL ADS

8 Disember 2014

CEO MAS : Bukti kegagalan kerajaan BN dalam merealisasikan slogan Malaysia Boleh

Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS didakwa bukti kegagalan kerajaan BN dalam merealisasikan slogan Malaysia Boleh.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemilihan warga asing itu juga membuktikan rakyat Malaysia tidak layak menerajui syarikat penerbangan itu walaupun dibantah banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sebelum ini.

"Dengan pelantikan warga asing sebagai peneraju baru MAS membuktikan kegagalan Malaysia dalam melahirkan tokoh pengurusan korporat tempatan.

"Ini menjadikan slogan Malaysia boleh adalah slogan palsu," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Khazanah Nasional Berhad yang melantik Mueller sebagai CEO MAS, berkuat kuasa 1 Januari depan.

Mueller yang kini CEO Aer Lingus, iaitu syarikat penerbangan kebangsaan Ireland juga dinamakan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.

Pelantikan Mueller dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

[ARTIKEL BERKAITAN: Christoph Mueller CEO baharu MAS]


Dalam pada itu, Mahfuz berkata lagi, pelantikan itu juga membentuk sikap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kebolehan anak Malaysia untuk diberi tanggungjawab besar untuk masa depan negara.

"Adakah ini bermakna kerajaan bercadang untuk menyerahkan jawatan menteri kewangan yang disandang oleh Datuk Seri Najib juga warga asing yang lebih berkeupayaan untuk pemulihan ekonomi negara yang lebih baik?

"Adakah orang luar ini lebih berkeupayaan untuk memulihkan ekonomi negara susulan beban hutang negara yang begitu besar serta kejatuhan nilai ringgit Malaysia?" soalnya. SH

Tiada ulasan: