SPECIAL ADS

2 Ogos 2013

Memburu lailatul qadar dengan ikhlas


Tidak sama orang yang tidak ikhlas beribadah kepada Allah dengan orang yang ikhlas beribadah tetapi diganggu oleh tujuan-tujuan duniawi yang memancing-mancing di lubuk hatinya, lalu mengeruhkan kejernihan ikhlasnya.

Yang pertama adalah golongan munafik. Mereka rosak kerana akidah yang tidak benar lalu mereka melakukan ibadah hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia, bukan kepada Allah.

Yang kedua adalah awam muslimin, bahkan orang alim juga. Mereka BERMULA dengan niat yang ikhlas dalam ibadah dan amal taat mereka kepada Allah. Tetapi syaitan mengganggu di perjalanan dengan tawaran dan habuan duniawi yang palsu, lalu ramai yang terpedaya dan menyebabkan kekeruhan dalam keikhlasan AWAL mereka.

Allah menolak ibadah orang munafik. Maka ibadah dan amal taat mereka menjadi sia-sia.

Adapun muslim yang ikhlas, tahap MAKBUL ibadah mereka adalah bergantung kepada TAHAP MANA mereka mampu menjaga keikhlasan mereka daripada dicemari tipu daya syaitan. 

Maka berbezalah ibadah orang jahil berbanding ibadah orang alim. Berbezalah ibadah orang yang bertaqwa dengan ibadah orang yang fasiq. Berbezalah juga ibadah orang yang teliti dan khusyuk berbanding ibadah orang yang lalai dan bermain-main.

Begitulah perlumbaan umat manusia menuju redha Allah. Allah mengeluarkan orang-orang yang kafir dan munafik daripada perlumbaan. Manakala awam muslimin, walaupun penuh kelemahan, rahmat Allah sentiasa luas buat mereka.

Apapun, kemenangan adalah tetap menjadi habuan dan milik orang-orang yang berilmu dan bertaqwa.

Tahukah kalian aduhai teman yang budiman, sesungguhnya Allah tidak pernah menutup pintu ilmu dan taqwa daripada setiap kita.

Maka muliakanlah diri dengan ilmu, iman dan taqwa. Kemenangan akan menjadi milik kita bersama, insya Allah.

Mari memburu lailatul qadar dengan penuh ikhlas.

Allahu akbar wa lillahil hamd.

Tiada ulasan: