SPECIAL ADS

3 Ogos 2013

Tengku Adnan tidak berperikemanusiaan, kata Nurul Izzah

Kuala Lumpur 03 Ogos : Nurul Izzah Anwar hari ini menyelar Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas kenyataannya yang tidak berperikemanusiaan untuk memotong bekalan air dan elektrik penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur bagi memastikan mereka membuat bayaran bil yang tertunggak.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menggesa Tengku Adnan tidak gopoh dan meneliti polisi bekas Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin supaya penyewa PPR diberi kelonggaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu hadapan.
Katanya, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib sudah berjanji semalam bayaran ansuran walaupun seminima RM10 akan diterima oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kunci meter air mereka akan dibuka.
“Tindakan sedemikian tidak berperikemanusiaan kerana tidak mengambil kira penundaan pemotongan oleh DBKL sejak 2010 hingga 2012. Jika DBKL sejak awal melakukan penguncian, penyewa tidak akan terbeban dengan hutang sehingga RM20,000.
“Justeru bila sampai ke tahap ini DBKL dilihat tidak bertanggungjawab. Bagaimana mungkin kita mahu memaksa orang dalam masa yang begitu singkat untuk mengubah budaya hidup mereka,” katanya semasa dihubungi The Malaysian Insider.
Semalam, agensi berita nasional, Bernama melaporkan Tengku Adnan semasa menghadiri majlis penyerahan surat tawaran penyewaan rumah PPR di Kampung Pasir berkata jika penduduk PPR tidak mahu membayar bil tertunggak, DBKL akan mengambil tindakan memotong bekalan air dan sekiranya perlu memotong bekalan elektrik bagi memastikan penduduk membayar apa yang telah mereka gunakan.
Katanya, tindakan DBKL mengunci meter air di kawasan PPR pada Julai lalu adalah mengikut undang-undang dan tiada kaitan dengan politik serta dakwaan itu hanyalah mainan pembangkang yang sengaja menggunakan isu itu untuk menarik perhatian rakyat dengan menuduh kerajaan sebagai tidak adil, sedangkan kerajaan mengenakan sewa rumah yang murah iaitu RM124.50 sebulan selain subsidi tambahan RM250.
Ahmad Phesal telah memberi kebenaran kepada penduduk PPR Muhibbah di Cheras untuk membayar ansuran RM10 terlebih dahulu bagi membuka meter air mereka selepas mencapai persetujuan bersama Nurul Izzah di ibu pejabat DBKL semalam. 

Tiada ulasan: