SPECIAL ADS

4 Jun 2014

JAIS perlu berhemah, elak salah faham

KUALA LUMPUR  : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) digesa untuk lebih berhati-hati dan berhemah ketika menjalankan operasi melibatkan orang bukan Islam di negeri itu.
Manuty1-300x240Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Mohammad Noor Manuty ketika dihubungi berkata ia perlu bagi mengelakkan berlakunya salah faham berkenaan Islam di kalangan orang bukan Islam.
Beliau dipetik sebagai mengulas insiden serbuan yang dilakukan JAIS di majlis perkahwinan bukan Islam di Petaling Jaya baru-baru ini.
“JAIS perlu lebih berhati-hati dalam membuat operasi membabitkan orang bukan Islam , kita dikuatiri akan timbul salah sangka.
“Mungkin dalam kes melibatkan permasalah akidah seperti ini, JAIS boleh menggunakan cara lain yang lebih berkesan berbanding melakukan serbuan di majlis perkahwinan tersebut,” jelasnya lagi.
KEADILAN berpendirian, untuk meleraikan hal-hal seperti ini secara tuntas dan jangka panjang, suatu mekanisme komunikasi yang berkesan berasaskan semangat muhibbah dan hormat-menghormati di kalangan rakyat Malaysia pelbagai agama, perlulah disuburkan.
“Tindakan segera yang bersifat terbuka, dengan mengadakan konsultasi dan dialog persefahaman, hendaklah digiatkan. Andai ada pihak yang dianggap melanggar peraturan dan undang-undang, biarlah pihak mahkamah yang memutuskan,”jelasnya.
Oleh itu, KEADILAN mencadangkan agar JAIS mewujudkan sebuah unit khas, bagi mengenalpasti kelompok-kelompok berisiko tinggi (yang dibawah kuasa dan tanggungjawabnya), supaya bertindak secara proaktif dan awalan.
Ini, bagi mengelakkan krisis seperti ini berulang lagi di masa hadapan. Malah, panduan-panduan berurusan (SOP) dengan pihak JAIS, secara mudah dan praktikal, perlu dijelaskan kepada semua – sama ada masyarakat Islam dan bukan Islam.
Bersamalah kita berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan sebaiknya, demi kedamaian hidup beragama, keadilan dan kesejahteraan rakyat di Negara yang kita cintai ini.
Jelasnya ia perlu bagi memastikan masyarakat majmuk di negara ini mampu menghormati budaya satu sama lain serta mengelakkan timbul salah faham yang mampu mengakibatkan permusuhan.
Dalam operasi yang dilakukan itu, JAIS menahan seorang pengantin wanita berusia 32 tahun yang lengkap berpakaian pengantin ketika perkahwinan tersebut sedang berlangsung.
Sumber itu juga menyatakan pengantin wanita serta adik beradiknya dibesarkan oleh ibu mereka mengikut ajaran Hindu setelah bapa mereka memeluk Islam. KD

Tiada ulasan: