SPECIAL ADS

7 Januari 2014

Mualaf hairan kalimah Allah jadi polemik


08 Jan : Umat Islam di Malaysia tidak sepatutnya gusar mengenai penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut Kristian di negara ini selagi kalimah itu digunakan secara positif, kata bekas penyampai MTV Europe, Kristiane Backer (gambar).
    
Penyampai itu yang kini merupakan pensyarah mengenai Islam, yang memeluk agama Islam pada 1995, dan telah menerbitkan memoir beliau bertajuk From MTV to Mecca", semalam menyifatkan isu itu sebagai luar biasa dan orang ramai patut gembira mengenainya.
    
"Anda tahu 'Allah' ialah nama untuk Tuhan dalam bahasa Arab. Ia digunakan dalam dunia Arab oleh penganut Kristian untuk Tuhan (God)...untuk menggambarkan God (mereka). Jadi kenapa kita perlu merungut mengenainya?" soalnya semasa menjawab soalan daripada audien di Pusat Maklumat Islam (IIC), di sini.
    
Sambil mengakui beliau masih tidak faham kenapa kalimah Allah menjadi isu kontroversi di Malaysia, tidak sepertimana di negara-negara Islam yang lain  dengan kalimah itu digunakan penganut Kristian, beliau percaya isu itu telah dipolitikkan.
    
Backer berada di sini atas jemputan IIC untuk menyampaikan syarahan mengenai "From MTV to Mecca: How Islam Inspired My Life". 
    
Syarahan itu merupakan satu daripada usaha pusat itu untuk menggalakkan dan menyebarkan kesejagatan Islam, serta meningkatan kefahaman dan penghargaan terhadap Islam dalam kalangan penduduk pelbagai etnik dan agama di Sarawak. 
    
Selain sering dijemput menjadi penceramah dalam acara-cara peringkat antarabangsa, Backer juga baru-baru ini menjadi pengacara program pengembaraan  'Travel Channel'. - Bernama

Tiada ulasan: