08 Jan : Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu memimpin melalui teladan dan peka dengan keadaan rakyat yang sedang dihimpit kos sara hidup meningkat atau kerajaan berdepan risiko kehilangan sokongan pada pilihan raya umum ke-14 nanti, kata penganalisis.
Ahli politik juga perlu mengekang gaya hidup mereka seiring dengan permintaan Putrajaya agar berjimat, kata penganalisis, susulan kebimbangan orang ramai bahawa pemimpin kerajaan persekutuan BN tidak mengurangkan perbelanjaan mereka.
Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin dari UiTM, berkata ahli politik kedua-dua pihak perlu melaksanakan kata-kata mereka dengan mengurangkan perbelanjaan.
Beliau berkata, ini adalah amat penting terutama ketika sambutan Maulidul Rasul akan datang bagi memperingati hari lahir Nabi Muhammad pada 14 Januari ini, yang membawa tema wasatiyyah atau kesederhanaan.
"Ini adalah masa yang terbaik bagi mereka untuk menjadi contoh. Perkara yang terbaik untuk mereka lakukan sekarang ialah amalan kesederhanaan dan bukannya menunjuk-nunjuk," katanya kepada The Malaysian Insider.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganjurkan sambutan hari jadi mewah di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur pada Ahad lalu dan tetamu mendakwa ia menjadi sambutan Tahun Baru. The Malaysian Insider difahamkan, kosnya kira-kira RM120,000.
Seorang lagi menteri merayakan sambutan perkahwinan anaknya selama dua hari berturut-turut di satu lagi hotel lima bintang di Kuala Lumpur bulan lalu, dengan disertai oleh raja-raja dan VIP serta dihiburkan penyanyi wanita terkemuka dari Indonesia.
Beberapa penulis blog pro-Umno juga mempersoalkan Jabatan Perdana Menteri atas keperluan apa mereka perlu dua jet VIP, selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan bagi perjalanan rasmi pada 2012.
Semua ini berlaku ketika rakyat dilanda kenaikan harga daripada elektrik kepada makanan, bahan api dan kos persekolahan.
Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan dinaikkan tahun ini susulan daripada kenaikan itu.
Selepas itu, kadar tol juga mungkin naik di samping cukai pintu untuk penduduk Lembah Klang, manakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015.
Shaharuddin percaya perbelanjaan mewah oleh ahli-ahli politik akan mempunyai kesan kepada pilihan raya umum akan datang kerana rakyat Malaysia yang sudah merasakan keperitan ini kecewa berhadapan dengan berita ini.
"Dengan harga setiap barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat, hidup adalah lebih sukar sekarang. Pada masa sama, ahli-ahli politik tidak melaksanakan apa yang mereka cakap, jadi pasti ini akan memberi kesan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Kerajaan BN yang Umno menjadi tunggak utamanya, hampir tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dengan hanya memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen, kurang tujuh kerusi berbanding pilihan raya umum 2008.
Ia juga kehilangan undi popular, apabila mendapat hanya 47% berbanding dengan pembangkang 51%.
Bagaimanapun, Umno memenangi 88 kerusi, meningkat daripada 79 sebelum ini, kerana sokongan daripada Melayu luar bandar dan Bumiputera.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Jayum Jawan mengecam perbelanjaan berlebihan itu dengan berkata mereka tidak memberikan contoh yang baik sebagai pemimpin.
"Dalam masa kesusahan, mereka perlu berkorban. Cara hidup mereka tidak selari dengan seruan perdana menteri untuk hidup berjimat," katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia sudah bosan dan sudah tiba masa untuk rakyat mengundi mengikut perasaan mereka yang sebenar.
"Mereka memberikan kerajaan banyak peluang dan tiba masa untuk mereka menilai semula sama ada mereka perlu terus memberi peluang kepada parti ini untuk memerintah," katanya.
Penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun, berkata cara politik Umno adalah pemimpin diperlukan untuk menunjukkan "kehebatan" mereka dan menunjukkan sifat murah untuk menarik penyokong.
"Sehingga kita sampai masa sebenar untuk membuat perubahan, keadaan akan kekal begini.
"Itulah sebabnya pengundi bandar tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lihat apabila rasuah berleluasa dan ketidakcekapan jelas dalam kerajaan tetapi mereka tidak mampu untuk melaksanakan perubahan sebenar selagi penduduk luar bandar tidak bangun," kata penganalisis, S Rajaratnam dari Sekolah Pengajian Antarabangsa Singapura.
Dr Oh juga percaya adalah sukar untuk mengekalkan kemarahan ini sehingga PRU14 yang hanya akan berlangsung empat tahun lagi.
"Majoriti rakyat sudah pun menyatakan tidak suka mereka kepada BN dalam pilihan raya lalu tetapi ia masih tidak cukup untuk menukar kerajaan," katanya. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan