SPECIAL ADS

7 Januari 2014

Presiden FAM harus berundur, dengar gesaan peminat bola sepak

FAM
07 Jan :  Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mendengar gesaan peminat agar berundur dan menyerahkan jawatan kepada mereka yang lebih layak menerajui badan induk  bola sepak negara itu, kata Bekas Pengurus Bola Sepak Selangor, Zakaria Rahim.
“Sejak berpuluh tahun FAM dipegang oleh orang yang sama. Saya lihat tiada perkembangan besar dalam mutu bola sepak negara ini. Paling kuat pun kita pernah menang sekali pada Piala AFF (Piala Suzuki AFF) pada 2010.
“Baru-baru ini kita kalah di Sukan Sea, dan sebelum ini (Pasukan Kebangsaan Bawah 19 Tahun) kalah juga di peringkat Asia (Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)).
“Saya berpendapat antara puncanya Pengurusan FAM bukan daripada orang yang sepatutnya. Presidennya tiada pengalaman dalam pengurusan bola sepak,” katanya yang juga Ketua cabang KEADILAN Pandan.
Menurut Zakaria, kekuatan sesebuah pasukan turut bergantung kepada peminat , dan FAM perlu mendengar gesaan kebanyakan peminat tegar bola sepak tanah air agar badan itu diterajui oleh mereka yang berpengalaman.
“Bagi orang yang benar-benar profesional mengendalikan sesebuah pasukan,  harus mengambil kira suara penyokong juga, kerana tanpa penyokong, pasukan tersebut tidak ke mana.
“Jika ramai penyokong yang sudah menyuarakan agar Presiden FAM berundur, jadi FAM kena dengar, itu kehendak penyokong. FAM jangan hendak syok sendiri,” katanya yang turut mempersoalkan  kenyataan bahawa  Malaysia mampu ke Piala Dunia, berdasarkan prestasi sekarang.
Zakaria Rahim atau dikenali sebagai Zack rahim berpengalaman mengurus pasukan Selangor pada tahun 2008-2010. Ketika di bawah kendaliannya, Selangor menjuarai Piala FA, dan Sumbangsih pada tahun 2009 serta liga super pada tahun 2010.
Pada 3 Januari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad menyokong cadangan agar rombakan besar-besaran dilakukan terhadap FAM.
Ia susulan kenyataan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang mahu rombakan dilakukan bagi membolehkan badan induk bola sepak tanah air itu diurus golongan profesional dan di kalangan ahli gabungannya sendiri.
Sebelum ini, kumpulan peminat tegar bola sepak tanah air seperti Ultras Malaya menuntut agar Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan sebagai Presiden badan induk itu.
Satu laman khas turut diwujudkan oleh peminat di Facebook bagi menggesa Presiden FAM meletakkan jawatan atas kegagalan menaikkan mutu bola sepak negara. Sehingga kini, laman itu disukai lebih 60,000 peminat.

Tiada ulasan: