SPECIAL ADS

3 Januari 2014

Suhakam : Tangani isu agama dengan toleransi dan hormat

04 Jan : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyeru agar pihak berkuasa mengamalkan tahap toleransi dan rasa hormat yang tinggi dalam menangani isu agama di negara ini.
Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee (gambar) menegaskan, suruhanjaya berkenaan menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (BSM) baru-baru ini.
Suruhanjaya memandang serius dan amat bimbang terhadap tindakan Jais dan pihak polis dalam menyerbu premis BSM dan cara serbuan seperti yang dilaporkan, serta penangkapan ke atas Presiden BSM Lee Min Choon, dan pengurus Sinclair Wong pada 2 Januari 2014, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Suhakam menegaskan, pihak berkuasa perlu melaksanakan tindakan mereka sejajar dengan kuasa undang-undang dan juga juga hak asasi manusia.
"Suruhanjaya berpendapat bahawa adalah amat penting bagi pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka, melaksanakan kuasa dan budi bicara mereka mengikut undang-undang dan sejajar dengan prinsip-prinsip hak kepada perbicaraan yang adil serta hak untuk mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR)," katanya lagi.
Jais sebelum ini telah menyerbu dan merampas 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada premis BSM di Damansara.
Tindakan itu bagaimanapun menerima kritikan beberapa pihak.
Mahkamah Rayuan juga sebelum ini telah memutuskan akhbar mingguan Herald tidak dibenarkan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai budaya dan agama, Suhakam berpendapat sikap toleransi itu juga penting dalam menangani isu budaya selain agama.
"Suruhanjaya juga menyeru pihak berkuasa untuk menghormati dan memastikan hak semua rakyat kepada kebebasan beragama, termasuk hak semua komuniti untuk menganut dan mengamalkan agama mereka secara bebas, seperti yang dijamin di bawah Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 18 dalam UDHR," katanya lagi.TMI

Tiada ulasan: