SPECIAL ADS

7 Januari 2014

Perkasa tidak kisah jika dana ditamatkan

08 Jan : Kumpulan pendesak Melayu, Perkasa tidak akan berdepan dengan masalah sekiranya kerajaan pusat menghentikan dana kepada pertubuhan itu bagi memenuhi desakan DAP.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh mengarahkan agensi kerajaan untuk tidak lagi membiayai program dan aktiviti Perkasa sekiranya beliau merasakan menyelamatkan polisi 1Malaysia adalah lebih penting daripada pertubuhan itu.
Malah, Syed Hassan mendakwa dana diterima Perkasa sebelum ini daripada kerajaan bukan dalam  bentuk jumlah besar, tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga dan mengakui ia amat kurang berbanding dengan apa diperolehi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk pertubuhan kaum lain.
"Perkasa tidak akan menerima  1Malaysia sekiranya ia dilihat sebagai  polisi "Malaysian Malaysia DAP" kerana kita masih berpegang kepada apa yang dinyatakan perdana menteri di Dewan Rakyat bahawa ia  harus berlandaskan perlembagaan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang mengulas mengenai kenyataan Lim Kit Siang yang menuduh Perkasa melakukan sabotaj dan mencemarkan polisi 1Malaysia walhal selama ini pertubuhan itu hanya mempertahankan kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera serta kesucian Islam.
"Apakah mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera serta Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara sebagai perbuatan sabotaj konsep 1Malaysia yang perdana menteri maksudkan," katanya.
Beliau mendakwa, ada pihak yang sentiasa menganggap Perkasa sebagai penghalang utama kepada cita-cita mereka sehingga mahu melihat pertubuhan itu terkubur.
"Kita tegaskan sekali lagi Perkasa akan tetap bergerak ke depan dengan apa yang ada. Kekangan kewangan tidak akan menghalang suara Perkasa terus lantang pertahankan kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam," katanya.
Semalam, Lim dalam kenyataannya mendakwa kerajaan Malaysia 'berjaya' melemahkan kempen 1Malaysia yang dilaungkan Najib dengan menyalurkan dana kewangan kepada Perkasa.
Lim berkata, ia dapat dilihat menerusi kempen pilihan raya umum sebelum ini apabila kumpulan pendesak Melayu itu memainkan peranan mencipta kemenangan buat Umno.
Sehubungan itu, Lim menggesa Kabinet bermesyuarat supaya dana kepada Perkasa ditamatkan kerana “mensabotaj polisi kegemaran” Najib.
Disember lalu, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad mendedahkan, Perkasa banyak menerima dana daripada agensi kerajaan untuk menjalankan program mereka.
Ia menyebabkan Perkasa mengakui mendapat bantuan daripada tiga agensi kerajaan iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN); Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). TMI

Tiada ulasan: