SPECIAL ADS

4 Januari 2014

Islam apa yang cuba kita tonjolkan

05 Jan : Terlalu banyak isu agama yang wujud sekarang membuatkan saya bertanya diri saya " Islam apa yang cuba ditonjolkan di negara ini".
Isu-isu seperti reaksi melampau kerajaan BN terhadap isu mazhab, isu nama Allah, isu hasrat Umno ingin meminda Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan mazhab ahlul sunnah wal jamaah sebagai mazhab rasmi negara ini, isu kenyataan mufti Perak yang mem"bughah"kan himpunan anak muda yang berhimpun menentang kenaikan barang dan isu serbuan Jais ke pejabat Bible Society of Malaysia di Damansara Kim membuatkan saya bertanya Islam apa yang cuba kita tonjolkan pada masyarakat.
Ya, Islam itu amat indah. Ya Islam itu amat adil. Ya, Islam itu agama yang Allah menyatakan secara jelas dalam Al Quran  bahawa Allah telah menetapkan DiriNya rahmah (kasih sayang).
Ya, Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang Rasul yang Allah nyatakan sebagai " role model" (qudwatun hasanah) untuk kita semua.
Persoalannya adakah semua prinsip tersebut dijelmakan sekarang ini di negara ini?
Melihat kepada isu isu yang saya nyatakan di atas adakah kita sedang menonjolkan keindahan dan keadilan Islam. Saya tidak tahu di manakah keindahan dan keadilan Islam ingin kita kongsi dengan masyarakat bukan Islam dan mereka yang jauh dari Islam jika berhimpun aman untuk protes kenaikan harga barang dikira halal darahnya kerana mereka adalah bughah (penderhaka).
Jika ini wajah Islam yang kita tonjolkan bukankah ianya wajah yang amat amat menakutkan? Jika wajah Islam sebegini yang kita tonjolkan adakah salah kita atau salah orang bukan islam jika mereka tidak tertarik kepada Islam?
Apabila menentang kenaikan harga barang yang menyusahkan kehidupan rakyat dianggap penderhaka, adakah Islam yang ingin kita tonjolkan tidak benar sama sekali membenarkan kebebasan berhimpun dan bersuara hingga melaksanakan hak tersebut membolehkan negara mengambil nyawa kita?
Jika itulah pendirian islam kita bukan sahaja akan gagal untuk meyakinkan orang bukan Islam kepada keindahan Islam malahan kita akan mengundang risiko wujudnya golongan anak muda Islam yang akan sangsi terhadap Islam itu sendiri.
Ajaran dan sejarah Islam amat toleran dengan kebebasan (huriyyah) khususnya kebebasan berhimpun dan bersuara. Sebagai satu contoh apabila Syaidina Umar r.a ingin campurtangan dalam isu mas kahwin beliau ditegur oleh seorang rakyat wanita  dengan menggunakan hujah dari Al Quran.
Syaidina Umar r.a mengiktiraf kebebasan bersuara itu sambil menyatakan " Umar salah, wanita itu  betul". Islam meletakkan bercakap benda yang hak (kalimatul hak) di depan penguasa zalim adalah jihad yang paling utama (afdhol jihad).
Jika undang undang dan piagam hak asasi manusia barat menganggap kebebasan bersuara adalah satu hak, Islam pula menjadikan kebebasan itu satu tanggungjawab khususnya jika ia melibatkan teguran ke atas benda yang mungkar.
Bagaimanakah kenaikan harga barang dan kos sara hidup tidak menzalimi rakyat dalam keadaan wang rakyat disalah guna dan bocor kerana rasuah, pembaziran dan salah guna kuasa. Bukankah sejarah Islam ,sepertimana yang dinyatakan dalam buka fiqh al-zakat karangan Dr Yusuf Al Qardhawi,  menyaksikan golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Sultan Al Ulama 'Izzuddin ibn Salam secara berani dan tegas menegur pemerintah bahawa mereka dilarang memungut cukai dari rakyat dalam keadaan segala kemewahan pemerintah terlebih dahulu dicairkan dan jika tidak cukup barulah bakinya diambil dari rakyat.
Bagi saya dalam keadaan lesunya para alim ulama maka tindakan anak anak muda berhimpun dan menyatakan bantahan tentang kenaikan kos sara hidup hakikatnya adalah refleksi mereka mengambil ruh keberanian Imam Nawawi dan Imam 'Izzuddin Ibn Salam menentang pihak penguasa yang zalim.
Malangnya jika ulama zaman dahulu berani menegur pihak penguasa, di Malaysia wujud pula ulama yang halalkan darah anak anak muda yang berhimpun menentang polisi pihak berkuasa.
Di manakah indahnya Islam jika kita tonjolkan golongan Kristian yang guna nama Allah perlu didakwa di bawah Akta Hasutan atau ditarik kerakyatan mereka seperti yang dicadangkan oleh Mufti Perak atau digeledah pejabat mereka dan digari tangan mereka.
Mengapakah ruh tasamuh (toleransi) yang Nabi Muhammad s.a.w tonjolkan kepada Suhail Al Amr di dalam perjanjian Hudaibiyyah tidak dijadikan rujukan dalam isu nama Allah ini.
Di mana indahnya Islam jika Islam meraikan perbezaan pendapat dan mazhab kita pula ingin mengekslusifkan mazhab sehingga ingin dimasukkan mazhab  khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan. 
Jika kita yang bermazhab Sunni mengkritik Iran kerana meletakkan mazhab syiah sebagai mazhab utama di Perlembagaan mereka yang bermajoriti syiah itu, mengapa kita rasa Iran tidak akan gelakkan kita kerana kita juga ingin jadikan mazhab ahlul sunnah sebagai mazhab rasmi negara.
Allamah Iqbal menyatakan "al Islam mahjubun bi al muslimin" (Islam terlindung oleh orang orang Islam sendiri). Itulah yang kita lihat di negara ini pada masa ini! TMI
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin (Penulis adalah ahli parlimen Sepang yang juga AJK PAS Pusat)

Tiada ulasan: