SPECIAL ADS

15 Oktober 2013

ASB: PNB perlu isytihar peratus pelaburan syariah


15 Okt : Pemodalan Nasional Berhad (PNB) perlu mengisytiharkan jumlah peratus pelaburan yang patuh syariah di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau ASN bagi mengelakkan keraguan pelabur membabitkan umat Islam.

Oleh kerana PNB mempunyai pegangan saham yang besar di dalam ASB dan ASN maka badan itulah dikatakan mempunyai kuasa mengawal pelaburan di kedua-dua saham tersebut.

Panel Penasihat Syariah Standard Charted Abdul Latif Ahmad Subkyi berkata, apa yang berlaku hari ini PNB selaku pemegang saham yang terbesar dalam ASB hanya memaklumkan terdapat dua bentuk pelaburan sahaja iaitu Islamik dan konvensional.

Namun katanya, PNB tidak mengisytiharkan pula berapa peratus pelaburan di dalam konvensional dan berapa peratus di dalam pelaburan Islamik.

"Badan penyelia yang tertinggi di dalam pelaburan adalah Suruhanjaya Sekuriti dan Majlis Penasihat Syariah (MPS) menjelaskan pelaburan melebihi tanda aras lima peratus dan ke atas bermakna pelaburan itu sah tidak patuh syariah. Manakala 4.99 peratus dimaafkan," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, tanda aras inilah yang didesak oleh Suruhanjaya Sekuriti tetapi ianya  tidak dijelaskan dengan baik oleh PNB menyebabkan pelbagai spekulasi timbul sehingga ada mengatakan ASB dan ASN adalah haram.

Tambah Abdul Latif, masalah yang timbul di dalam ASB dan ASN pula difahamkan pelaburan mereka melebihi tanda aras 5 peratus.

"Apabila tanda aras melebih lima peratus bermakna bermacam-macam pelaburan yang dibuat tidak mengikut syariah, termasuklah arak, judi, termasuk juga riba," katanya.

Bagaimanapun bagi mengelak Umat Islam membuat perkara syubahat, beliau menasihatkan agar umat Islam menggunakan 16 hingga 30 peratus dividen di dalam ASB dan selebihnya pulang semula kepada ASB.

"Ini jalan yang paling selamat buat Umat Islam yang ragu-ragu dengan pelaburan ASB. Sebagaimana sebut satu hadis 'yang halal pun jelas yang haram pun jelas maka ditengah-tengahnya perkara meragukan, perkara ini boleh jadi haram dan halal. Sesiapa elak perangai ragu-ragu maka sudah menyelamatkan agama dan maruahnya," katanya.

Pernah sebelum ini, ada yang mengatakan ASB dan ASN adalah haram malah Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011 telah bersetuju memutuskan bahawa pelaburan ASN dan ASB dan seumpamanya adalah tidak halal.

Kedua-dua pelaburan ini secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

Malah ianya diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

MPS  telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu berasaskan ijtihad untuk menentukan sekuriti syarikat bercampur sebagai patuh Syariah atau sebaliknya dengan mengira sumbangan aktiviti tersebut kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat.

Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah.

Tanda aras tersebut, yang ditetapkan oleh MPS berpandukan ijtihad iaitu proses mengeluarkan pendapat daripada sumber Syariah oleh ulamak yang layak, ialah tanda aras lima peratus, 10 peratus dan 25 peratus.

Tanda aras lima peratus digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya (tidak selaras dengan Syariah) seperti riba (syarikat berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman keras dan daging babi.

Tiada ulasan: