08 Okt : Anggota Parlimen Pakatan Rakyat merasa 'diperdaya' Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam isu 'kesediaan' kabinet mempertimbang semakan semula cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA).
Malah, kelulusan pindaan itu di kabinet Rabu lalu berbeza sama sekali dengan isyarat yang diterima wakil Pakatan sejak Isnin - bahawa kabinet mempertimbang menerima semakan mereka.
Pada Selasa, Azmin Ali (PKR-Gombak) bertemu speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang itu dan dicadangkan bertemu Zahid untuk cuba menangguhkannya.
Beliau kemudian mengesahkan mendapat isyarat bahawa perbahasan akan dibuat sehingga Khamis, hari terakhir persidangan, dan 12 lagi rang undang-undang akan ditangguh.
Tetapi Zahid secara mengejut membuat penggulungan bacaan kedua pada Rabu petang dan rang undang-undang itu diluluskan pada tengah malam itu.
Ini berlaku apabila ramai anggota Parlimen Pakatan tidak hadir di dewan, atas anggapan peringkat jawatankuasa akan mengambil tempat pada Khamis. Hanya 66 anggota Parlimen pembangkang hadir.
Dalam ucapan penggulungan, Zahid menyentuh kebimbangan mereka dengan jawapan satu baris. Kesemua 10 semakan oleh Pakatan ditolak.
Pada Sabtu, beliau mencuri perhatian apabila berucap dalam sebuah acara di Melaka dengan menggelar PCA sebagai "undang-undang saya".
"Saya pakat dengan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Shahidan (Kassim) supaya tiba masanya, speaker Dewan Rakyat berada bersama dengan kita, setiausaha Dewan Rakyat bersama dengan kita jadi kita bentangkan," beliau direkod berkata kepada hadirin.
Oleh: Ram Anand
Tiada ulasan:
Catat Ulasan