SPECIAL ADS

27 Oktober 2013

Dr. Mahathir : Kita punya kerajaan yang lemah

28 Okt : Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini menyifatkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lemah disebabkan melayan kehendak ekstremis pembangkang serta semakin kurang mendapat sokongan.
Bekas Perdana Menteri itu belum pernah mengkritik pentadbiran Najib sejak melepaskan jawatannya pada April 2009 malah pernah memuji Najib lebih baik berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Keadaan politik sekarang tidak stabil kerana wujud persepsi kerajaan lemah dan orang yang tidak betul memimpin negara.
“Kita mempunyai kerajaan yang lemah kerana kurang sokongan rakyat selain memenuhi keperluan ekstremis dalam puak pembangkang.
“Apa yang paling teruk adalah mereka membuat tuntutan melampau untuk meninggalkan kerajaan apabila permintaan tidak dipenuhi. Jika anda fikir mereka akan mengucapkan terima kasih dan memberi sokongan. Ia satu kesilapan,” katanya.
Dalam ucapannya bertajuk Trend Politik Semasa serta Kesan kepada Hala tuju Ekonomi dan Sosial Malaysia, Dr Mahathir berkata,  golongan pertengahan lebih gemar menyampaikan apa yang terbuku di fikiran mereka dan pada masa sama kerajaan perlu meluangkan lebih masa kepada golongan majoriti yang tidak gemar bersuara.
Katanya, tiada keperluan bagi kerajaan melayan kehendak kumpulan pelampau.
Dr Mahathir berkata, kerajaan harus faham kehendak golongan pertengahan dan meyakinkan mereka untuk sama-sama mempromosikan kestabilan.
“Ini contoh jelas kesan politik kepada ekonomi kerana kerajaan dilihat lemah dan melayan kehendak pelampau yang mengakibatkan keadaan negara dalam bahaya.
“Saya berharap golongan pertengahan ini tidak dipersia-siakan. Mereka perlu berani membuat pilihan, bukan atas kehendak sendiri tetapi demi kebaikan negara, politik dan masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: