08 Okt : Majlis Peguam mengecam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) sebagai mengaibkan negara dan kerajaan ekoran pendedahan rakaman ucapan Menteri Dalam Negeri itu di Melaka oleh media semalam.
Majlis Peguam menegaskan tiga pengakuannya dalam ucapan tersebut adalah satu kesalahan serta tidak menghormati lunas undang-undang negara, iaitu mengenai arahan menembak tanpa beri amaran, mengakui pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dibuat mengikut arahannya dan juga tahanan tanpa bicara selama dua tahun.
Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menyifatkan Ahmad Zahid sebagai tidak bertanggunjawab dan memalukan kerana bertindak membatasi undang-undang.
"Majlis Peguam mengutuk keras kenyataan Menteri Dalam Negeri kerana ia menunjukkan sikapnya tidak menghormati undang-undang dan hak asasi manusia serta tidak menghormati debat yang berjalan di Parlimen.
"Kenyataan beliau memalukan dan menyebabkan negara dan kerajaan diaibkan," kata Leong dalam satu kenyataan hari ini.
Leong juga mengkritik Ahmad Zahid yang sehingga kini masih lagi gagal mengemukakan bukti kononnya pemansuhan akta drakonian sebagai punca peningkatan jenayah berat kebelakangan ini walaupun telah berjanji untuk bentang di Parlimen.
"Beliau gagal mengemukakan data bukti untuk menyokong hujahnya.
"Sebaliknya, beliau dilaporkan telah berpakat dengan Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Ketua Polis Negara untuk meminda PCA," katanya.
Menurut Leong, tindakan Ahmad Zahid tersebut adalah suatu kesalahan berat dan boleh didakwa mengikut Akta Hasutan.
"Menteri Dalam Negeri nampaknya melampaui batas dan kemungkinan telah melakukan kesalahan dibawah Akta Hasutan," ujarnya lagi.
Leong juga berkata tindakan Ahmad Zahid menghalau wartawan daripada membuat liputan membuktikan beliau mengakui kesalahannya mengeluarkan kenyataan sedemikian, serta sanggup mengancam media untuk semata-mata memenuhi kehendaknya.
"Cubaannya untuk menutup mulut media adalah isyarat beliau mengakui kesalahan dalam kenyataannya," tambahnya lagi.
Semalam, media melaporkan, Ahmad Zahid semasa dalam satu Majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat di Melaka telah bercakap mengenai beberapa isu sensitif antaranya melibatkan isu penjenayah masyarakat India serta mempertahankan kumpulan haram Melayu yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah.
Dalam rakaman sepanjang 20 minit di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh tersebut, Ahmad Zahid telah juga telah menghentam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy kerana mengkritik pasukan polis susulan insiden tembakan lima penjenayah India di Pulau Pinang.
Ahmad Zahid juga secara bangga mengakui pindaan Akta PCA yang diluluskan baru-baru ini adalah cadangannya.
"Kita siasat, kita bawa ke mahkamah. Kalau tidak ada bukti atau tidak cukup bukti, sekurang-kurangnya dua tahun penahanan. Itu undang-undang baru saya. Tiada kompromi," katanya dipetik berkata dalam laman portal berita online.
Pindaan akta kontroversi PCA yang diluluskan baru-baru ini di Parlimen akan membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga dua tahun, serta boleh dilanjutkan sehingga selepas berakhir tempoh tersebut.
Pindaan tersebut diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas mendapat undi 115 daripada ahli Parlimen Barisan Nasional. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan