SPECIAL ADS

7 Oktober 2013

Kenyataan Ahmad Zahid umpama beri “lesen bunuh” kepada polis

07 Okt : PKR mengecam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan polis boleh menembak tanpa sebarang amaran umpama memberikan "lesen bunuh" kepada badan penguatkuasaan undang-undang itu untuk bertindak sesuka-hati membatasi undang-undang.
Naib Presiden PKR, N Surendran (gambar) berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri itu tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang negara.
"Ia adalah hasutan dan membenarkan satu pembunuhan kejam oleh pasukan polis.
"Kenyataan tersebut seolah-olah tidak lebih kepada sokongan kerajaan untuk polis membunuh sewenang-wenangnya," kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Surendran, seseorang suspek yang dibunuh tanpa diberi sebarang amaran adalah bertentangan seperti yang termaktub dalam Kanun Keseksaan dan Ahmad Zahid boleh dibawa ke muka pengadilan kerana bersubahat melakukan pembunuhan.
"Menembak bertujuan membunuh suspek tanpa memberi amaran adalah salah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Zahid dan pasukan polis boleh dituduh atas dakwaan bersubahat dan berkomplot melakukan jenayah membunuh atau menyebabkan kematian tanpa niat; kesalahan ini boleh dihukum di bawah seksyen 120A dan 107 Kanun Keseksaan," katanya.
Ahmad Zahid hari ini dilaporkan berkata pihak polis tidak lagi teragak-agak untuk menembak terlebih dahulu tanpa memberi sebarang amaran. Ia didedahkan menerusi satu rakaman suara di Melaka pada Jumaat lalu.
"Bagaimana keadaan mangsa-mangsa rompakan, bunuh masa tembakan ini? kebanyakannya adalah orang Melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita.
"Saya pikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu," kata Ahmad Zahid yang dipetik dalam rakaman tersebut.
Susulan kenyataan itu, Surendran berkata rakyat Malaysia kini berdepan dengan situasi bahaya dimana kaedah "tembak untuk bunuh" dikuatkuasakan serta mendesak supaya Ahmad Zahid disiasat yang jelas bertentangan dengan undang-undang negara.
"Kami gesa penubuhan segera Suruhanjaya Inkuiri Diraja. Satu siasatan yang bebas dan segera perlu dilakukan ke atas kenyataan Ahmad Zahid, yang sama sekali melanggar undang-undang," tegas beliau.
Beberapa kontroversi penembakan maut polis telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kes-kes seperti remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah di Shah Alam pada 2010; belia Muhammad Hanafi Omar, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei dan Hairul Nizam Tuah di Glenmarie, Shah Alam, 2010; dan D. Dinesh berumur 26 tahun di Ampang pada 2012.
Majlis Peguam juga telah menggesa sebelum ini supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan, bagi menyiasat secara automatik setiap kes apabila polis melakukan tembakan secara terbuka.

Tiada ulasan: