SPECIAL ADS

10 Oktober 2013

Ketua Pembangkang Selangor dapat keistimewaan

10 Okt : Kerajaan Selangor buat pertama kalinya akan memberi elaun dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya hari ini memaklumkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam yang meluluskan keistimewaan tambahan kepada Katua Pembangkang Dewan Negeri Selangor.

Keistimewaan baharu itu akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan  peranan semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

"Kepentingan Ketua Pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor selepas Dato’ Menteri Besar pada persidangan Dewan Negeri Selangor," kenyataan media itu dipetik.

Menurut Abdul Khalid, keistimewaan baharu Ketua Pembangkang Dun Selangor itu akan dikuatkuasakan selepas usul berkaitan  dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke -13 yang dijangka bersidang mulai 19 November depan.

Ketua Pembangkang bakal menerima elaun  tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.

Pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

"Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat," kata Abdul Khalid.

Ketua Pembangkang Dun Selangor kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias.

Tiada ulasan: