07 Okt : Sejak Dr Mahathir Mohamad sehinggalah Najib Razak, budaya Perdana Menteri terbang ke seluruh dunia dengan kerapnya ini terbentuk dengan jelas, seolah-olah seorang Perdana Menteri itu mesti keluar negara setiap bulan, tulis Aspan Alias.
Baginya, ini masalah biasa bagi pemimpin yang baru dan datang dari negara yang baru menjumpai kehidupan.
“Ada seorang pemimpin kita yang berkata, membawa keluar seseorang dari kampung itu senang, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari orang itu sangatlah susah,” tulis beliau di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/.
Justeru, ujarnya ada juga perbidalan yang lain yang sesuai digunakan untuk pemimpin-pemimpin seperti ini, iaitu 'seperti beruk dapat bunga'. Kadang kala boleh juga digunakan perbidalan 'macam sikudung mendapat cincin' dan beberapa perbidalan yang lain.
Tulisan penuh beliau seperti di bawah.
Rakyat tahu yang kerajaan sekarang merupakan kerajaan yang berbelanja secara membazir dan budaya ini sudah terbentuk hampir tiga dekad dahulu. Dari waktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri belanja untuk menyelenggarakan perbelanjaan seorang Perdana Menteri sangat besar dan semuanya itu dibayar dari wang rakyat.
Oleh kerana mereka tidak merasakan bagaimana susahnya rakyat berkerja dan membayar cukai maka mereka hanya membelanjakan wang rakyat itu mengikut hawa nafsu mereka masing-masing. Tidak ada perasaan bersalah dan tidak peduli dengan apa yang rakyat kata. Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri mereka.
Baru-baru ini Dewan Rakyat di beritahu bahawa dalam tempoh tiga tahun sahaja belanja untuk perjalanan Perdana Menteri Najib dengan jet eksekutifnya memakan perbelanjaan sebanyak hampir RM100 juta. Hampir RM30 juta setahun dibazirkan dengan membayar bill jet peribadi Perdana Menteri dan ini merupakan satu budaya yang sangat gila dan tidak masuk akal.
Kita tidak faham kenapa Perdana Menteri kita mesti menggunakan jet peribadi untuk terbang ke merata dunia. Kenapa tidak menggunakan penerbangan komersial MAS misalnya seperti lazim digunakan oleh banyak pemimpin negara lain. Perdana Menteri Singapura hanya menggunakan penerbangan SIA sahaja dan beliau boleh juga sampai ke mana-mana dalam dunia ini.
Sejak Dr Mahathir sehinggalah Najib budaya Perdana Menteri terbang ke seluruh dunia dengan kerapnya ini terbentuk dengan jelas, seolah-olah seorang Perdana Menteri itu mesti keluar negara setiap bulan. Ini masalah biasa bagi pemimpin yang baru dan datang dari negara yang baru menjumpai kehidupan. Ada seorang pemimpin kita yang berkata, membawa keluar seseorang dari kampung itu senang, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari orang itu sangatlah susah.
Ada juga perbidalan yang lain yang sesuai digunakan untuk pemimpin-pemimpin seperti ini, iaitu 'seperti beruk dapat bunga'. Kadang kala boleh juga digunakan perbidalan 'macam sikudung mendapat cincin' dan beberapa perbidalan yang lain. Baginya menjadi Perdana Menteri itu merupakan 'privilege' untuk berbelanja sesuka hati mereka tanpa bertanggung jawab seolah-olah wang itu adalah wang datuk nenek mereka.
Malahan apabila sudah berhenti menjadi Perdana Menteri pun mesti juga naik jet ke mana-mana seolah-olah dari kecil sampai ke tua mereka ini sememangnya naik jet ke mana-mana. Mereka sudah tidak boleh lagi terbang dengan penerbangan komersial dan cara perjalanan yang lain.
Mentaliti kekampungan inilah yang menjadikan kepimpinan itu tidak dihormati lagi dan akhirnya mereka ini menyalahkan rakyat kerana tidak menyokong mereka. Itu sebab di awal artikel ini saya mengingati seorang pemimpin yang berkata yang membawa keluar seseorang dari kampung itu senang dan mudah dilakukan, tetapi untuk mengeluarkan kampung dari diri mereka sangat susah.
Itulah keadaan kita yang sedang dipimpin dengan pemimpin seperti ini. Malunya kurang, adabnya tiada dan adatnya entah ke mana. Tidak ada langsung usaha untuk meninggalkan nama yang baik apabila sudah tiada nanti. Setidak-tidaknya harimau pun mati ditinggalkannya belang. HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan