14 Okt : Keputusan Mahkamah Rayuan menghalang Gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald bukan alasan mana-mana pihak mewujudkan ketegangan agama, permusuhan dan kebencian.
Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata ketegangan yang berlaku berhubung isu kalimah Allah yang menggunakan pendekatan rasis dan ekstrem dihentikan segara agar suasana tidak bertambah tegang.
Katanya, perlu diadakan pertemuan lebih kerap antara pimpinan agama, politik dan badan bukan kerajaan bagi mempertingkatkan toleransi dan hormat menghormati antara pelbagai agama di negara ini.
“Sebelum ini kurang berlaku pertemuan yang untuk mengurangkan rasa kecurigaan antara satu sama lain.
“Jika banyak pertemuan diadakan sudah pasti suasana agak tegang ini dapat dikurangkan,” kata Dr Manuty ketika dihubungi TVSelangor.
Kata Dr Manuty, dialog antara agama perlu diperbanyakkan bertujuan untuk memperbaiki ruang toleransi yang dibenarkan agar lebih memahami antara satu sama lain.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata keputusan mahkamah itu tidak sewajarnya menjejaskan hubungan baik antara agama di negara ini.
“Apabila mahkamah sudah membuat keputusan maka semua pihak perlu menghormati keputusan itu.
“Tetapi ini bukan alasan untuk hubungan antara agama menjadi tegang,” kata Dr Mujahid ketika dihubungi TVSelangor.
Kata Dr Mujahid, apabila pertemuan antara pimpinan agama diadakan ia dapat mengelakkan pihak rasis dan prejudis agama mengambil kesempatan mewujudkan suasana konflik agama.
“Kesan keputusan mahkamah itu diharap akan berterusan menjadi perbincangan dan menguatkan lagi azam melihat suasana kedamaian bagi meningkatkan usaha dialog dan sebagainya,” kata Dr Mujahid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan