29 Okt : Tindakan kerajaan menghapuskan RM551.25 juta subsidi gula dalam Bajet 2014 menambahkan lagi kekayaan kroni BN yang menguasai industri itu.
Ini kerana monopoli oleh Malaysian Sugar Manufacturing (MSM) milik Felda Global Ventures dan Central Sugar milik Tradewinds yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MSM ditubuh taikun Tan Sri Robert Kuok yang juga kroni BN sejak 1958 sebelum menjualnya kepada Felda pada 2009 bernilai RM1.5 bilion. Manakala Tradewinds dikuasai Syed Mokhtar yang juga kroni Umno.
Ekoran penghapusan subsidi itu, harga gula kini RM2.84 berbanding hanya RM2.50 sebelumnya. Ia kenaikan kelima sejak industri gula dikuasai Syed Mokhtar pada 2009 hingga kini.
“Pendapatan kasar industri gula sekitar RM4 bilion setahun. Pada kebiasaannya, keuntungan sebelum cukai syarikat gula sekitar sembilan peratus. Selepas kemasukan syarikat milik Syed Mokhtar ke sektor ini, keuntungan sebelum cukai melonjak 15 peratus.
“Dengan penghapusan subsidi, kentungan sebelum cukai syarikat-syarikat dalam sektor ini dijangka melonjak 20 hingga 25 peratus dengan pengumpulan keuntungan hampir RM1 bilion, akibat pengukuhan monopoli kedua-dua syarikat ini,” katanya dalam perbahasan di Parlimen semalam.
Sehubungan itu Anwar mengulangi pendirian Pakatan Rakyat perlunya liberalisasi industri itu bagi memecah monopoli agar harga gula lebih rendah demi kepentingan rakyat terbanyak berbanding dasar sedia ada hanya menguntungkan segelintir individu elit yang rapat dengan BN.
“Persoalannya mengapa korporat mendapat kentungan berganda akibat penghapusan subsidi gula dan rakyat dibeban dengan kenaikan harga gula?
“Seharusnya liberalisasi industri gula dilakukan untuk mengelak monopoli berterusan bagi mengekang kenaikan harga gula akibat pengurangan subsidi dengan kemasukan syarikat pembekal baru,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan