Tetapi ia juga boleh dijadikan teladan dan mungkin juga petanda bahawa Umno telah bersedia berdepan dengan hantu yang sekian lama meracau dan mengacau tubuh badannya - puaka yang menyebabkan banyak ahli tawar hati dan meminggirkan diri.
Puaka yang menyebabkan sesiapa saja yang berani bersuara diketepikan. Puaka yang menjadikan pengampu, kaki bodek dan penghasut disukai dan berpengaruh di koridor kuasa.
Tahniah kepada BH atas tajuk berita “1,703 perwakilan, calon Umno muflis”.
Akhbar itu, antara lain, melaporkan: “Seramai 33,272 calon disahkan bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan Umno bulan ini selepas 869 calon gagal melepasi saringan Jawatankuasa Pemilihan parti, termasuk 334 yang didapati muflis.
“Selain itu, 1,369 daripada kira-kira 146,000 perwakilan yang telah dipilih, tidak layak kerana turut disenaraikan muflis oleh Jabatan Insolvensi.”
Syabas kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno kerana membuat tapisan yang teliti.
Saya tidak hairan sedikit pun dengan berita tersebut. Hari ini, walaupun banyak Melayu dan Islam begitu “judgmental” (suka mengukur orang) keimanan orang lain, banyak daripada mereka adalah hipokrit. Mereka sendiri lebih teruk daripada orang yang mereka ukur dan adili.
Orang yang berhutang, tetapi tidak membayar balik hutang, lagi-lagilah yang diisytiharkan muflis kerana tidak membayar balik hutang, tidak layak menjadi pemimpin. Memilih mereka sebagai pemimpin samalah dengan memilih hamba abdi menjadi pemimpin.
Saya bukan menghina hamba abdi. Tetapi adakah kita mahu dipimpin oleh hamba abdi yang berhutang? Tidak kira sama ada mereka muflis kerana berniaga, kerana tak bayar pinjaman pelajaran tinggi, tak bayar hutang kad kredit atau kerana menjadi penjamin orang yang berhutang, pokok pangkalnya mereka tetap muflis.
Lagi hina adalah orang yang rela diisytiharkan muflis daripada berusaha membayar balik hutang.
Tetapi bukan orang muflis sahaja wajib ditegah bertanding dan mengundi. Orang yang didapati bersalah kerana jenayah, rasuah dan politik wang juga wajib ditegah daripada bertanding dan mengundi.
Sekiranya ada orang seperti itu yang terlepas daripada pengawasan dan tindakan Jawatankuasa Pemilihan tetapi diketahui oleh pemilih dan perwakilan, mereka pun wajib ditolak juga.
Kalau Umno mahu pulih daripada dilema dan maladi (penyakit) yang dialaminya sekarang dan mahu kembali menjadi parti pilihan orang Melayu, ia memerlukan kepemimpinan yang bersih, telus, berwibawa, muda dan bertenaga.
Kepemimpinan yang hormat dan akur kepada ahli bukan yang takut dan utamakan anak bini, suku-sakat, para penasihat, peniaga minyak ular dan ahli sihir. Barang dijauhkan Allah!
Pemilihan kali ini adalah peluang terakhir Umno menyegarkan semula kepemimpinannya dan mengembalikan idealisme perjuangan. Sekiranya ini tidak berlaku, kemungkinan Umno menjadi parti rumput tengah jalan (hidup segan mati tak mahu) adalah amat besar. Wallahualam.
http://kadirjasin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan