SPECIAL ADS

18 Oktober 2013

Bekalan air terawat S'gor cukup sehingga 2022

18 Okt : Kerajaan Negeri Selangor dijangka mampu untuk terus membekalkan air terawat untuk tempoh sedekad lagi itu sehingga tahun 2022 dengan projek mitigasi yang dijangka siap tahun ini.

Anggaran itu dibuat Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) yang membuat kajian sekitar isu air Selangor yang mendedahkan hasilnya baru-baru ini.

Antara langkah dalam projek mitigasi tersebut adalah dengan memulihkan operasi loji rawatan air Bukit Jelutong yang telah ditutup dan ianya dijangka akan menaikkan takat rizab air sehingga 851 juta liter sehari.

Selain itu penggunaan teknologi membran juga akan meningkatkan penghasilan air terawat sebanyak 100 juta liter sehari.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Datuk Lee Miang Koi berkata kapasiti bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka tidak mencukupi mulai Julai 2014.

Ketika itu katanya, rizab bekalan air akan menjadi negatif apabila permintaan air terawat melebihi pengeluarannya.

Bagaimanapun menurut pusat kajian SERC itu, beberapa langkah lagi turut dicadangkan bagi mencapai objektif meningkatkan bekalan air terawat dapat dibuat secara holistik.

Antaranya, mereka mencadangkan agar kerajaan negeri supaya bertindak lebih tegas bagi memastikan pihak-pihak bertanggungjawab menyelenggara loji rawatan dan paip dengan baik.

Menurut mereka, kajian yang dijalankan firma kaji selidik Enrico mendapati kesemua 29 loji rawatan air yang diurus Puncak Niaga tidak beroperasi di paras optima dan 18 daripadanya perlu dibaikpulih dan dinaik taraf.

Mereka turut menggesa kerajaan negeri supaya mengatasi pencemaran air di sungai-sungai utama di Selangor, terutamanya di Semenyih dan di Langat.

Ini kerana, pencemaran di sungai-sungai itu menurut mereka menyebabkan jumlah bekalan air mentah berkurangan.

“Sehingga April 2012, sekurang-kurangnya 13 kejadian henti tugas di loji-loji rawatan akibat paras pencemaran yang tinggi,” kata laporan itu yang dipetik Selangorku.

Punca pencemaran dikenal pasti daripada aktiviti perkilangan, ladang ayam dan itik, tumpahan minyak dan perlombongan pasir.

Kerajaan negeri juga diminta menguatkuasakan undang-undang ke atas pencemar sungai, mengekang kecurian air dan penyelewengan, dan memindahkan kilang-kilang ke kawasan yang sesuai.

Tiada ulasan: