SPECIAL ADS

8 Oktober 2013

Karpal Singh dakwa Putrajaya sengaja lengah rayuan kes Altantuya

Pembunuh Altantuya Shaariibuu masih belum didakwa.
09 Okt : Putrajaya seolah-olah sengaja berlengah untuk mengemukakan rayuan terhadap dua polis komando yang dibebaskan daripada pendakwaan kes berprofil tinggi iaitu membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kata peguam veteran, Karpal Singh.
Beliau berkata, Pejabat Peguam Negara boleh memfailkan petisyen rayuan mereka dan menyatakan alasan mengapa Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan ketika membebaskan dua anggota polis itu berdasarkan kepada alasan bertulis penghakiman.
“Mereka boleh mempercepat proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan walaupun tanpa mempunyai rekod keseluruhan rayuan,” katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.
Peguam kanan itu mempunyai arahan memerhati terhadap kes Shaariibuu.
Katanya, mahkamah apex (persekutuan) kemudian boleh melakukan pengurusan kes dan menetapkan tarikh rayuan kerana Putrajaya sebenarnya tiada keperluan untuk menunggu keseluruhan rekod rayuan untuk memfailkan petisyen rayuan.
Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar bebas selepas rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan mereka bersama dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan, dua bulan lalu.
Kedua-dua anggota polis itu yang sebelum ini bertugas dengan Unit Tindakan Khas (UTK) didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2006.
Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang juga kekasih Altantuya yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi tanpa perlu dipanggil membela diri.
Karpal berkata, beliau berasa bertanggungjawab kerana anak guamnya, Setev Shaariibuu iaitu bapa Altantuya memnfailkan tuntutan saman RM100 juta terhadap Abdul Razak, Azilah, Sirul dan kerajaan di atas kematian anaknya.
“Sudah enam tahun berlalu selepas tuntutan itu difailkan tetapi kes Setev masih belum boleh didengar selagi perbicaraan jenayah belum tamat,” katanya.
Karpal berkata, beliau bimbang rayuan itu akan ditangguhkan lagi terutama jika anggota polis terbabit tidak hadir ketika prosiding berlangsung kelak.
“Rayuan jenayah tidak boleh dijalankan tanpa kehadiran responden (anggota polis terbabit),” katanya.
Katanya, pihak pendakwaan kemudian akan memerlukan lebih masa untuk mencari mereka dan mendapatkan waran tangkap untuk memastikan kehadiran mereka di mahkamah.
Karpal berkata, pendakwa raya patut memohon untuk menahan anggota polis terbabit sehingga tamat rayuan di mahkamah.
“Tidak sepatutnya ada diskriminasi. Pihak pendakwa selama ini mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan warga tempatan dan asing sehingga kes rayuan selesai. Mereka ini (tertuduh kes Altantuya) dibebaskan selepas berdepan dengan tuduhan yang membawa hukuman mati,” katanya.
Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 23 Ogos, hari yang sama rayuan anggota polis itu dibenarkan Mahkamah Rayuan.
Penghakiman bertulis tersedia pada 26 Ogos.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Mohamad Apandi dalam penghakiman mereka berkata, kegagalan pihak pendakwaan memanggil bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak iaitu DSP Musa Safri menyebabkan kes itu lemah.
Sementara itu, pegawai daripada jabatan rayuan dan bicara di Pejabat Peguam Negara berkata, pihaknya akan menunggu untuk memindahkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan apabila jabatan Mahkamah Rayuan selesai menyiapkan rekod rayuan.
“Kami hanya boleh memfailkan petisyen rayuan dan menyatakan alasan kami mengapa Mahkamah Rayuan silap dalam penghakimannya selepas memperolehi rekod rayuan,” katanya yang enggan dikenali.
Pihak pendakwaan akan diberi 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik sahaja rekod rayuan dibekalkan.
Kunci utama rekod rayuan itu akan mengandungi alasan penghakiman dan nota prosiding di Mahkamah Rayuan.
Peguam yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, berkata semua langkah itu perlu diambil oleh pendakwaan dan penghakiman untuk mempercepat penyelesaian rayuan.
“Ini adalah kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian umum dan perkembangannya diikuti secara meluas di seluruh negara dan luar negara. Kes ini perlu mendapat kesimpulan yang logik secepat mungkin,” katanya.
OLEH V ANBALAGAN

Tiada ulasan: