SPECIAL ADS

21 Oktober 2013

Larangan guna kalimah Allah terpakai kepada semua Kristian Malaysia, kata peguam

Pertubuhan Islam berkumpul di luar Mahkamah Rayuan ketika keputusan penggunaan kalimah Allah diumumkan di Putrajaya. Gambar fail.
22 Okt : Semakin banyak percanggahan berhubung isu kalimah Allah kini wujud apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan Kabinetnya memberi kenyataan bahawa kalimah Allah hanya diharamkan bagi akhbar mingguan Katolik Herald sementara penganut agama Kristian masih bebas menggunakan kalimah itu di mana sahaja mereka berada.
Bagaimanapun, peguam yang mahir dengan perlembagaan memberitahu The Malaysian Insider penghakiman Mahkamah Rayuan minggu lalu adalah pengharaman secara menyeluruh perkataan itu yang memberi kesan kepada semua penganut Kristian di Malaysia.
Peguam Fahri Azzat, berkata keputusan mahkamah itu menyebabkan kekeliruan.
“Pertamanya kita harus membezakan kenyataan dibuat mengikut perspektif politik. Tidak benar ia tidak melibatkan Sabah dan Sarawak kerana jika sesiapa saja membawa kes itu di Malaysia Timur, menteri dalam negeri juga boleh menyekat penggunaan perkataan itu di sana.
“Ini masih belum berlaku pada ketika ini, tetapi jika sesiapa mencabarnya, ia akan terpakai,” katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur semalam.
Peguam Edmund Bon, berkata mahkamah berhujah bahawa kalimah Allah diharamkan bagi akhbar mingguan Herald kerana ia tidak termasuk dalam ajaran Kristian dan dalam ibadah mereka.
“Ini bermakna penghakiman tersebut melibatkan semua Kristian,” katanya.
Presiden Majlis Perundangan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Jagir Singh yang juga seorang peguam mempersoalkan mengapa negara mempunyai dua set undang-undang dalam isu ini.
“Ini tidak betul kerana kita hanya boleh mempunyai satu undang-undang terpakai di seluruh negara,” katanya.
Jagir berkata, penghakiman itu mempunyai implikasi besar dan memberikan menteri dalam negeri kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan atau dikaji semula oleh mahkamah.
“Dalam kes Herald, tiada bukti dikemukakan untuk menunjukkan akhbar tersebut digunakan untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada umat Islam. Sebaliknya, bukti menunjukkan ia hanya digunakan kepada penganut Kristian,” katanya.
“Keenganan mahkamah untuk melihat sama ada menteri dalam negeri adil atau tidak bermakna beliau sekarang mempunyai kuasa untuk campur tangan terhadap agama lain,” katanya.
Jagir berkata, bahaya sekarang adalah menteri dalam negeri mungkin boleh mengawal selia kebebasan asas, termasuk kebebasan beragama dengan hujah sesetengah pihak mungkin terkeliru atau mengganggu ketenteraman awam dan mahkamah hanya berdiam diri tanpa memikirkan faktor perundangan, keadilan dan kesaksamaan.
Semua peguam itu bersetuju bahawa apa yang gereja Katolik dan bukan Islam boleh lakukan adalah untuk merayu di Mahkamah Persekutuan atau Parlimen.
Najib akhirnya memecahkan kebuntuan semalam apabila berkata, keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak serta perkara yang terkandung dalam resolusi 10 perkara peringkat Kabinet Pusat itu akan dikekalkan di kedua-dua negeri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata penganut agama Kristian di Semenanjung Malaysia masih boleh menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka meskipun selepas keputusan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Isnin lalu.
Sebelum itu, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman, berkata penghakiman Mahkamah Rayuan berhubung isu Allah terpakai kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau terkejut apabila kerajaan mengatakan penghakiman itu tidak menjejaskan penganut Kristian Sabah dan Sarawak. 
Oleh : Rita Jong, The malaysian Insider

Tiada ulasan: