SPECIAL ADS

14 Oktober 2013

Dr. Maszlee : Kemenangan pemimpin terpalit skandal petanda Umno hidapi sindrom beku, jumud

Dr-Maszlee
14 Okt : Kemenangan pemimpin terpalit skandal dana awam dan politik wang dalam Pemilihan Umno 2013 menunjukkan ahli parti itu tidak menganggap perbuatan salahguna kuasa dan rasuah sebagai satu dosa, sebaliknya menganggapnya sebagai hak pemimpin mereka.
Menurut pengananalis politik, Dr Maszlee Malik, kemenangan pemimpin dari golongan itu sekaligus membuktikan Umno bukan sahaja masih takut hendak berubah, malah turut dilanda sindrom beku dan jumud.
“Masalahnya mereka tak anggap rasuah itu sebagai rasuah tetapi anggap sebagai hak pemimpin Umno dan mana-mana Menteri dan ini menyebabkan pemimpin terus bertindak sewenang-wenangnya.
“Mereka sudah selesa dalam keadaan ini, jadi mengapa mereka perlu berubah?” Soal pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu ketika dihubungi TV Selangor.
Dr Maszlee menambah, Umno turut berhadapan isu ketandusan pemimpin yang mampu menongkah arus yang mempunyai visi jelas dan berani bagi membawa Umno keluar dari acuan politik lapuk serta masalah rasuah.
“Pemilihan Umno ini tidak mempunyai sebarang signifikan, malah masih berada di takuk lama, tak nak berubah kerana takut berubah, ketandusan pemimpin yang mempunya visi yang jelas dan berani menongkah arus seperti pemimpin Umno dahulu sebab itu kita Umno dianggap masih menghidapi sindrom beku dan jumud,” kata beliau lagi.
Selain itu, Umno juga dikatakan gagal meletakkan wanita sebagai salah satu komponen penting bagi memperjuangkan isu kebajikkan rakyat dan wanita khususnya.
Ini berbeza dengan pendekatan parti lain yang berjaya meletakkan wanita sebagai salah seorang pemimpin tertinggi mereka sepertimana Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar sebagai Presiden dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Dalam Umno, wanita hanya disempitkan dalam Wanita Umno dan Puteri Umno sahaja, lain dalam parti politik lain yang wanitanya boleh sampai ke Naib Presiden.
“Wanita berkaliber pun kebanyakkannya memilih tidak bersama Umno atau kalau bersama Umno sekadar mengikut arus yang ada,” ujar Dr Maszlee lagi.

Tiada ulasan: