08 Okt : Kerajaan dan enam pegawai yang menahan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat (EO) diperintah membayar RM200,000 sebagai ganti rugi berhubung kesilapan penahanan dan pemenjaraan secara tidak sah pada 2011.
Mereka bersetuju untuk menyelesaikan saman sivil terhadap kerajaan dan 81 responden lagi setelah kerajaan dan polis menyerah kalah, menurut peguam Edmund Bond.
“Menang tanpa bicara. Kerajaan dan polis menyerah kalah. Penghakiman sebanyak RM200,000 akan dibayar kepada #EO6,” tulis Edmund di twitter.
Mengikut Bernama, penyelesaian tersebut direkodkan hari ini di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hue Siew Kheng.
Berdasarkan kepada terma penyelesaian, kerajaan, sebagai defenden pertama dan enam pegawai yang menahan mereka diminta membayar ganti rugi yang ditetapkan.
Keputusan ini membolehkan semua mereka menang tanpa bicara.
Mereka yang ditahan adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan aktivis PSM, Choo Chon Kai, Sarat Babu, M Sarasvathy, M Sukumaran, dan A Letchumanan.
Semua mereka ditahan selama 28 hari di bawah EO atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan semasa polis bertindak tegas kumpulan hak sivil dan parti-parti Pakatan Rakyat yang merancang perhimpunan Bersih 2.0 sebagai tuntutan pembaharuan pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan