SPECIAL ADS

14 Oktober 2013

NGO Islam gesa provokasi agama segera dihentikan

NGO Islam gesa provokasi agama dihentikan Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 Oktober, 2013.
14 Okt : Persatuan Belia Islam Malaysia Nasional mengharapkan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka akan menghentikan segala provokasi terhadap umat Islam.
Jurucakap persatuan itu, Iqbal Halim Abdul Razak berkata segala perbuatan seumpama itu harus dihentikan segera kerana Islam tidak melakukan serangan kepada agama lain.
Sementara itu, wakil daripada Ikatan Muslim Malaysia Taqiuddin Tabrani turut mengalu-alikan keputusan mahkamah kerana menurutnya asal-usul Bible sendiri tidak menggunakan kalimah Allah.
"Terjemahan Bible sebelum ini tidak pernah menggunakan kalimah tersebut, jadi mengapa mereka mahu berkeras mahu menggunakannya," katanya.
Pengerusi Pekida Malaysia Mohamed Ismail Osman berkata hak umat Islam tetap terpelihara dalam Perlembagaan.
Katanya, hak gereja untuk mengemukakan rayuan perlu dihormati.
"Kita akan menunggu proses rayuan dan berharap keputusan sama juga berpihak kepada Islam," katanya.
Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata ia satu kejayaan bagi umat Islam sambil menegaskan umat Islam perlu lebih bersedia kerana lebih banyak ancaman lain yang akan mengancam agama Islam.
Beliau sendiri akan hadir ke Semakan Berkala Universal (UPR) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada 24 Oktober ini bagi membantu kerajaan dalam kes hak asasi manusia yang akan dibentangkan di PBB.
Katanya, peranan Mahkamah Syariah dan Islam sebagai agama Persekutuan akan dibincangkan dalam persidangan itu.

Tiada ulasan: