SPECIAL ADS

17 Oktober 2013

Pembangkang mahu campur tangan Agong dalam pindaan PCA

17 Okt : Selepas gagal menghalang pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) diluluskan oleh kedua-dua dewan di Parlimen awal bulan ini, pembangkang kini beralih untuk cuba mendapatkan campur tangan daripada Yang di-Pertuan Agong supaya menolak persetujuan terhadap Rang Undang-Undang itu.
Rayuan terhadap Agong, yang pertama seumpamanya dalam sejarah rakyat Malaysia, akan disampaikan di istana esok, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Karpal Singh (gambar).
Beliau berkata, pindaan itu bersifat drakonian dan sudah tiba masanya Agong menunjukkan pendirian tidak setuju.
“Pindaan itu memperkenalkan semula tahanan tanpa bicara dan tidak ada periksa dan imbang yang mencukupi kepada PCA,” kata peguam kanan itu.
Akta Ordinan Darurat (Pencegahan Jenayah dan Ketenteraman Awam) 1969 dimansuhkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2011 diikuti dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun lalu.
Karpal berkata, tidak ada sesiapa yang menjangkakan kembalinya undang-undang drakonian itu dalam bentuk pindaan terhadap PCA, dan menegaskan ia bertentangan dengan kepentingan negara.
Beliau berkata, demi kepentingan awam, adalah penting supaya Agong enggan memberikan perkenan terhadap pindaan itu.
“Agong perlu menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa baginda tidak akan secara automatic bersetuju dengan Rang Undang-undang itu yang tidak membentuk asas peraturan dalam undang-undang,” katanya.
Karpal berkata, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Dewan Negara dan Dewan Rakyat di Parlimen, maka jika Agong murka, ia akan memberi kesan negatif terhadap kerajaan pemerintah.
Mengikut Artikel 66 (4) Perlembagaan Persekutuan, Agong mempunyai 30 hari untuk memperkenankan Rang Undang-undang itu selepas ia dipersembahkan kepadanya.
Artikel 66 (4A) menyatakan bahawa Rang itu akan menjadi undang-undang apabila ia tamat tempoh 30 hari walaupun undang-undang yang dicadangkan itu tidak dipersetujui.
Sebelum Perlembagaan dipinda pada 1994 untuk memasukkan klausa 4 dan 4A, lazimnya Agong akan mempersetujui semua Rang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Dengan adanya pindaan itu, bagaimanapun, Agong boleh menolak untuk mempersetujui Rang yang diluluskan kedua-dua Dewan.
“Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Karpal.
Pada 10 Oktober, Dewan Negara meluluskan pindaan terhadap PCA selepas perbahasan berlangsung dua hari.
Dewan Rakyat meluluskan pindaan PCA awal pagi 4 Oktober selepas ia dibahaskan dalam suasana dewan yang hangat.
Putrajaya berkata, undang-undang itu amat diperlukan untuk memeriksa ketua gengster dan peningkatan kadar jenayah kejam.

Tiada ulasan: