SPECIAL ADS

27 Oktober 2013

Pakatan: Tohmahan tidak berasas, Utusan Malaysia terus main api perkauman

Kolumnis Utusan Malaysia Awang Selamat hari ini mendakwa kaum Cina tidak suka ditegur serta pendekatan politik mereka sudah melampau dan berbahaya.
27 Okt : Segala tohmahan yang dilontarkan oleh kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat melalui edisi Ahad Mingguan Malaysia hari ini, diselar pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dengan menyifatkan dakwaan akhbar tersebut tidak berasas selain menafikan hak demokrasi yang diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Naib Presiden PKR Datuk Dr Chua Jui Meng berkata, kaum Cina memberikan sokongan yang padu kepada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1990 hingga 2004 kerana mereka tidak mengamalkan diskriminasi.
“Pada 1999, kaum Cina yang menyelamatkan Umno kerana 60% orang Melayu telah memberikan undi mereka kepada pembangkang. Selepas itu, mereka tidak menghargai sumbangan kaum Cina.
“Sejak 2004, kaum Cina melihat Dasar Ekonomi Baru seperti tiada penghujungnya dan terus memberi kerugian kepada negara. Pada masa itulah, orang Cina sedar dasar diskriminasi telah kembali dan aspirasi Wawasan 2020 telah dipadamkan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Awang Selamat hari ini mendakwa kaum Cina tidak suka ditegur serta pendekatan politik mereka sudah melampau dan berbahaya selain masyarakat Cina taksub menyokong parti ekstrem DAP serta mahu menuntut hak sama rata dengan orang Melayu.
Chua berkata pada 2008, majoriti kaum Cina menyokong pembangkang disebabkan banyak diskriminasi dan maki-hamun dilontarkan kepada orang Cina seperti mengancam untuk membunuh kaum itu serta banyak isu perkauman yang dimainkan.
Katanya, kaum Cina sudah bosan dengan Umno disebabkan dasar perkauman yang dimomokkan.
Parti komponen BN telah menanggung kekalahan mengakibatkan rakyat yang sebelum ini percaya kepada parti komponen BN mendapati parti tersebut tidak dapat mempertahankan mereka.
“Umno yang merosakkan peluang MCA dan parti komponen lain dengan permainan perkauman. Saya nak ingatkan Umno, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan diskriminasi kaum khasnya kepada kaum Cina yang paling besar.
“Jika Umno terus memainkan dasar perkauman, parti komponen BN akan mati dan Umno sahaja yang akan selamat.
“Jika kerajaan tak tukar dasar anti Cina, maka tiada pilihan lain termasuk kaum India dan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak akan menyokong BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban dari DAP Anthony Loke berkata Utusan Malaysia cuba menghidupkan perasaan prejudis apabila masyarakat Cina tidak berpihak kepada BN.
Katanya, selagi masyarakat Cina tidak mengundi BN maka selagi itulah Utusan Malaysia akan marah dan salahkan kaum itu
“Ini tindakan melampau oleh Utusan. Seolah-olah rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan. Adakah salah jika tidak mengundi BN? Bagi Utusan, semua pengundi mesti menyokong BN.
“Ini pemikiran karut oleh Utusan. Mereka masih mahu membeza-bezakan rakyat sedangkan semua kaum dahulu memainkan peranan untuk menuntut kemerdekaan. Mengapa nak bandingkan dengan negara lain? Itu hanya pandangan seorang penulis.
“Pandangan penulis buku tersebut tidak boleh dijadikan alat menyalahkan masyarakat Cina di Malaysia. Utusan perlu segera memadamkan api prejudis di antara orang Melayu dan Cina. Mereka mahu orang Melayu marah kepada orang Cina. Ini tujuan Utusan,” katanya.
Loke berkata, DAP tidak pernah menjatuhkan kuasa politik Melayu tetapi yang diinginkan hanyalah menjatuhkan kuasa BN.
Katanya, itulah sebab kerjasama dengan PAS dan PKR dijalinkan supaya kuasa politik Melayu tidak tercabar tetapi yang tercabar hanyalah Umno dan BN.
Sementara Ahli Parlimen Serdang dari DAP Dr Ong Kian Ming turut menyifatkan dakwaan Utusan Malaysia tidak berasas kerana bukan kaum Cina sahaja yang tidak menyokong polisi BN tetapi kaum lain juga berpendirian sama.
Katanya, pada PRU13, kaum Melayu dan India juga memberi sokongan kepada PR malah menurutnya itu satu pilihan dalam negara demokrasi.
“Ini kenyataan tidak wajar oleh Utusan. Malaysia sedang menuju amalan politik yang lebih matang di mana semua orang boleh menyokong parti pilihan mereka tidak berasaskan kepada perkauman dan kebencian semata-mata.
“Di Malaysia tiada pihak yang harus tunduk kepada pihak lain kerana kita semua adalah warganegara dilindungi Perlembagaan. Tulisan sebegini tidak patut ditulis kerana tidak tepat dan tidak sesuai,” katanya.
Awang Selamat hari ini menyifatkan kerajaan banyak memenuhi tuntutan kaum Cina bersifat perkauman seperti pengembangan sekolah Cina dan dasar kerajaan yang membolehkan ramai orang Cina terus kaya raya namun mereka tetap mahu menjatuhkan kuasa politik Melayu.
Katanya, orang Melayu sebenarnya sedang dijajah kaum Cina tetapi itulah keistimewaan orang Melayu, mereka adalah bangsa yang bersopan santun dan penyabar.
“Sepatutnya orang Cina perlu berbakti kepada orang Melayu. Awang kasihan kepada orang Melayu. Walaupun banyak beralah kepada kaum Cina sejak dahulu lagi tetapi terus dilukai dan dikhianati.
“Budi yang dihulur, racun yang diberi. Pun begitu, ramai Melayu yang masih tidak sedar diri,” katanya.
Oleh: Hasbullah Awang Chik

Tiada ulasan: