SPECIAL ADS

4 Oktober 2013

Sarawak, Apa kata Ketua Audit Negara?

04 Okt : Laporan Ketua Audit Negara 2012 (LKAN 2012) yang baru sahaja dikeluarkan menarik perhatian banyak pihak. Rata-rata rakyat kecewa dengan prestasi sektor awam daripada sudut ini yang seakan-akan tiada peningkatan kerana saban tahun isu ketirisan sektor awam yang hampir serupa dilaporkan. Bagaimana pula dengan prestasi Sarawak?
Daripada 10 projek atau entiti di bawah agensi kerajaan negeri Sarawak yang telah diaudit dalam LKAN 2012, tiga daripadanya mendapat penarafan kurang memuaskan iaitu Pengurusan Perkhidmatan Perunding di bawah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, Program Pembangunan Industri Padi (PPIP) dan Program Pembangunan Ternakan (PPT) manakala Mayang Tea Sdn Bhd mendapat penarafan tidak memuaskan.
Mari kita teliti satu persatu antara 'The Good', 'The Bad' dan 'The Ugly'.  Tetapi saya ingin bermula dari belakang.
'The Ugly'
Mayang Tea Sdn Bhd (MTSB)
MTSB adalah anak syarikat Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) yang menjalankan aktiviti penanaman, pemprosesan dan pemasaran teh di Bahagian Samarahan sebagai salah satu projek sosio-ekonomi membasmi kemiskinan. Ia ditubuhkan dengan modal berbayar RM1.69 juta. Keadaan kewangan MTSB adalah amat lemah dan mendapat penarafan tidak memuaskan daripada Ketua Audit Negara.
  1. Tidak pernah untung sejak penubuhan pada 1983.
  2. Kerugian terkumpul pada 2011 adalah RM4.06 juta.
  3. Pendapatan langsung pada 2011 hanyalah RM8,878.
'The Bad'
Pengurusan Perkhidmatan Perunding (Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri)
Bagi tempoh 2010 sehingga 2012, hampir RM530 juta digunakan untuk perkhidmatan perunding bagi 360 projek di bawah pemantauan Jabatan Setiausaha Kewangan Negeri yang secara keseluruhannya bernilai hampir RM9 bilion. Adalah merisaukan apabila sebuah entiti kerajaan negeri yang bertanggungjawab kepada peruntukan sebesar ini diberi penarafan kurang memuaskan dalam LKAN 2012.
  1. 26.2% daripada 225 projek di bawah JKR dan JTS gagal disiapkan mengikut jadual. Ini termasuklah projek Skrang Water Supply dan Pakan Water Supply.
  2. 4% daripada jumlah ini berstatus 'terbengkalai'.
Bagaimanapun, LKAN 2012 tidak menjelaskan kos yang dibelanjakan untuk projek bermasalah ini. Jangkaan kita ialah ia mungkin sekurang-kurangnya bernilai ratusan juta kalau pun tidak berbilion.
Program Pembangunan Industri Padi (PPIP)
PPIP adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-9 hasil kerjasama tiga agensi utama iaitu Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan & Saliran dan beberapa agensi lain. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kadar 'self-sufficiency' pengeluaran beras di Sarawak kepada 70%. Sepanjang tempoh rancangan ini, sejumlah RM 253 juta dibelanjakan untuk menjayakan PPIP di lima bahagian Sarawak iaitu Limbang, Sri Aman, Mukah, Betong dan Kapit. Walaupun sejumlah peruntukan yang amat besar dibelanjakan, prestasi PPIP adalah amat mengecewakan.
  1. Pada akhir 2010 kadar 'self-sufficiency' beras di negeri ini hanyalah 53.9% berbanding sasaran 70%. Pada 2009, ia adalah serendah 41.1%.
  2. Produktiviti pengeluaran padi adalah rendah iaitu hanya 3 tan metrik sehektar berbanding sasaran 5 tan metrik sehektar.
  3. Projek infrastruktur padi di Betong menelan belanja RM56 juta tetapi hanya 1% kawasan terlibat ditanam dengan padi.
  4. Lebih RM100 juta dibelanjakan untuk projek penambahbaikan sistem saliran dan pengairan di 7,800 hektar kawasan penanaman padi namun isu pengairan masih menjadi sebab utama kegagalan PPIP.
  5. Pusat Pengeluaran & Pemprosesan Benih Padi (SPPC) di Stumbin bagi membekalkan benih padi berkualiti kepada pesawah di Sarawak bernilai RM7 juta juga gagal disiapkan. Kini ia sudah diambil-alih oleh Kementerian Pertanian Malaysia tetapi dengan tambahan kos hampir RM10 juta.
  6. Yang lebih menarik ialah walaupun sasaran produktiviti dan 'self-sufficiency' tidak tercapai, tahap keluasan penanaman padi di Sarawak pula melepasi sasaran  sebanyak 2.7%.
Program Pembangunan Ternakan (Jabatan Pertanian Sarawak)
RM53.7 juta dibelanjakan untuk menjayakan program ini yang berobjektif meningkatkan pengeluaran daging di Sarawak. Namun berikut adalah prestasi projek yang menggambarkan kelemahan yang serius:
  1. Kadar pengeluaran di 4 stesen ternakan yang diaudit untuk 2012 hanyalah 40% berbanding sasaran 60%.
  2. Kadar kelahiran ternakan yang rendah di bawah piawaian, 65% (lembu) dan 100% (kambing/bebiri).
  3. Kadar kematian yang amat tinggi melepasi piawaian, 10%. Ada stesen ternakan yang mencatat kadar kematian ternakan setinggi 74%.
  4. Pengimportan 2,240 ekor lembu baka berkualiti bernilai RM9.3 juta tanpa kontrak perjanjian dan diberi pengecualian prosedur tender.
'The Good (?)'
Daya Builders Sdn Bhd (DBSB)
DBSB adalah syarikat usahasama antara Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan sektor swasta. Ia menjalankan aktiviti pembangunan perumahan khususnya jenis kos rendah untuk HDC. Walaupun secara keseluruhannya memuaskan, ada beberapa kelemahan ketara DBSB dalam menjalankan aktiviti perniagaannya.
  1. Pembinaan 86 unit rumah teres kos rendah di Kanowit bernilai RM8.09 juta gagal disiapkan sehingga 2012 (sepatutnya siap pada 2010). Kontrak ini dibuat tanpa tender.
  2. Pembinaan 100 unit rumah teres kos rendah di Bintulu bernilai RM12.5 juta gagal disiapkan pada 2010. Kontrak ini juga dibuat tanpa tender.
  3. Kontrak pembinaan 865 unit rumah kos rendah dan beberapa projek pembangunan berkaitan yang bernilai RM114.54 juta dibuat secara lantikan terus. Malahan, 11 daripada 16 projek DBSB yang diaudit adalah tanpa tender terbuka.
Harwood Timber Sdn Bhd (Harwood) Harwood adalah syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Kayu Sarawak (PUSAKA). Aktiviti utamanya ialah memantau pengagihan kayu balak di Sarawak dan balak untuk dieksport. Walaupun mendapat penarafan baik, ada beberapa perkara kelemahan yang perlu diberi perhatian.
  1. Subsidiarinya iaitu Harwood Timber Products Sdn Bhd mencatat kerugian tiga tahun berturut-turut (2009-2011) dengan jumlah kerugian terkumpul bernilai lebih RM20 juta.
  2. Baki penghutang tertunggak berjumlah RM6 juta.
  3. Hutang berjumlah RM6 juta ini pula tidak dikenakan faedah 1.5% sebulan seperti yang ditetapkan.
Taman Perindustrian Samalaju (TPS)
TPS adalah sebahagian daripada SCORE (Sarawak Corridor for Renewable Energy) bagi menempatkan industri-industri 'energy intensive' di negeri ini. Walaupun mendapat penarafan memuaskan daripada Ketua Audit Negara, berikut adalah beberapa kelemahan yang signifikan:
  1. Loji Rawatan Kumbahan & Saluran Pembetungan - RM18.47 juta dibelanjakan (86% daripada peruntukan) tetapi projek hanya 3.6% siap.
  2. Jalan Seksyen A - RM85.93 juta dibelanjakan (63% daripada peruntukan) tetapi projek hanya 14.7% siap.
  3. Jalan Maskat, Bintulu - RM24.01 juta dibelanjakan (51.2% daripada peruntukan) tetapi projek hanya siap 30.7%.
  4. Jalan Collector A - RM8.88 juta dibelanjakan tetapi jalan retak, tidak rata, bahu jalan terhakis dan parit jalan tersumbat.
Kita amat sedih dengan pendedahan ini. Sampai bilakah ratusan juta wang rakyat ini perlu dibazirkan lagi? Jelas, kita memerlukan Umar Abdul Aziz yang baru. Sekiranya keseluruhan pentadbiran kerajaan diaudit, bagaimana pula 'revelation'nya, ya?
"It is not power that corrupts but fear. Fear of losing power corrupts those who wield it and fear of the scourge of power corrupts those who are subject to it." - Aung San Suu Kyi. – 4 Oktober, 2013.
* Mohd Aizan Mohd Nor ialah Pengarah Sarawak Centre for Policy Studies (Sarawak Centre).

Tiada ulasan: