SPECIAL ADS

12 Oktober 2013

Pinda Perlembagaan tetapi tidak ikut syariat Islam

12 Okt : Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali berkata, Perlembagaan negara sering dipinda melalui Rang Undang-undang yang diluluskan di parlimen tetapi penggubalan tersebut tidak menjurus kepada syariah Islam yang menyeluruh. 

Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri diberi kuasa melaksanakan syariat Islam di negeri masing-masing tetapi ia tidak boleh mengatasi kekuatan Perlembagaan negara. 

Sehingga katanya, Kelantan dan Terengganu (ketika memerintah) telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah bagi membolehkan hukuman itu dilaksanakan, namun ia terhalang dengan adanya sekatan dari kerajan Persekutuan.

"Kerajaan Persekutan menggunakan alasan Enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan negeri tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan," tegasnya ketika merasmikan Seminar Perlaksanaan Syariah Islam 56 Tahun Merdeka', di Unisel, Shah Alam. 

Beliau menegaskan, pakar-pakar perundangan berselisih pendapat dalam isu tersebut namun sehingga kini tidak ada jalan penyeleaian bagi membolehkan kerajaan negeri diberi kuasa melaksanakan undang-undang syariah Islam. 

Menurut beliau, alasan rakyat berbilang bangsa dijadikan punca utama untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam sehingga menimbulkan ketakutan pada undang-undang tersebut. 

Katanya, ada pihak yang sengaja membesar-besarkan masalah berbilang kaum sehingga menimbulkan kegerunan dikalangan orang bukan Islam untuk menerima perlaksanaan syariat Islam. 

Menyedari hakikat itu, beliau berkata, kerajaan Selangor mengambil pendekatan sepadu dan berjangka panjang dengan misi mengilmukan rakyat iaitu bukan sekadar berpuashati dengan ilmu dikalangan cerdik pandai. 

Katanya, kerajaan telah mengoptimakan segala aset institut pendidikan yang sedia ada termasuk Unisel dan PPAS bagi memberi akses maksima kepada rakyat melalui misi merakyatkan ilmu. 

Beliau berkata, di bawah Jawatankuasa Pendidikan telah mewujudkan satu Jawatankuasa Khas menangani gejala sosial (GEMS) yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta NGO.

Menurut beliau, sudah sampai masa rakyat diajak memahami syariat Islam yang lebih adil untuk memelihara agama, harta dan maruah berbanding undang-undang ciptaan manusia.

Tiada ulasan: