SPECIAL ADS

7 Oktober 2013

Suhakam: PCA jejas rekod hak asasi manusia Malaysia

Hasmy (kiri) menyeru masyarakat memainkan peranan bagi merealisasikan peningkatan situasi hak asasi manusia di Malaysia.
07 Okt : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menegaskan rekod Malaysia di peringkat antarabangsa akan terjejas ekoran kelulusan Putrajaya membenarkan tahanan tanpa bicara melalui Akta Pencegahan Jenayah (PCA).
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan berkata, rekod Malaysia akan disemak untuk kali kedua oleh Rekod Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (PBB) di Geneva pada 24 Oktober depan.
"Pindaan ke atas PCA yang memperkenalkan peruntukan-peruntukan bersifat mundur dan tidak selaras dengan prinsip hak asasi manusia akan membawa penelitian dan kritikan masyarakat antarabangsa terhadap negara yang secara tidak langsung akan menjejaskan rekod hak asasi manusia Malaysia di forum antarabangsa," katanya.
Beliau menegaskan, Suhakam menyeru agar pihak berkepentingan dan masyarakat sivil untuk memainkan peranan mereka bagi merealisasikan hasil penilaian bagi meningkatkan situasi hak asasi manusia di Malaysia.
Malaysia telah menerima 62 daripada 103 syor dalam Kumpulan Kerja pada penilaian pertama. Parlimen telah meluluskan PCA ketika sesi sidang Dewan Rakyat minggu lalu walaupun menerima tentangan daripada pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) dan juga kumpulan badan bukan kerajaan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Pindaan akta berkenaan membolehkan mana-mana individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan jenayah terancang ditahan tanpa perbicaraan selama 60 hari.
"Sehubungan itu, Suruhanjaya menyeru kerajaan untuk menunjukkan pematuhan sepenuhnya dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa dan memenuhi janji dan komitmen secara sukarela yang dikemukakan semasa mempertahankan pencalonannya untuk keahlian HRC, yang mana kesemuanya adalah asas UPR," kata kenyataan itu lagi.
"Suhakam dan 10 pihak berkepentingan yang lain telah  mengemukakan laporan masing-masing kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) yang mana kesemuanya telah digabungkan sebagai salah satu daripada tiga dokumen utama yang akan dikaji semula oleh Kumpulan Kerja," kata Hasmy lagi. 

Tiada ulasan: