20 Okt : Beberapa minggu lalu, Tengku Razaleigh Hamzah menyebut bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ada pengaruh lagi untuk memenangkan Datuk Mukhriz Mahathir. Orang tidak mahu dengar Dr Mahathir. Hari ini, pendapat Tengku Razaleigh Hamzah dibuktikan benar. Dr Mahathir tidak ada pengaruh lagi.
Mukhriz kalah lagi. Beberapa tahun lalu, bila Mukriz lawan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) untuk jawatan ketua Pemuda, Mukhriz tewas. Maknanya, Dr Mahathir pun tewas.
Nampaknya, Umno tidak mahu dengar cakap Dr Mahathir lagi. Lebih elok Dr Mahathir menyokong gerakan yang benar-benar mahu menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin Umno yang tamak haloba. Dr Mahathir boleh menebus segala salah laku selama 22 tahun jadi PM dengan bersama-sama menyelamatkan Malaysia. Oleh kerana baka Dr Mahathir hidup lama, maka masih ada masa untuk Dr Mahathir berbuat demikian.
Ketika round pertama dulu, bab yang Dr Mahathir menang ialah dia berjaya menghasut meyakinkan ramai pemimpin Umno ketika itu membeloti Pak Lah. Beza Pak Lah dengan Najib ialah Pak Lah ketika itu selalu tidur. Sama ada disebabkan suatu penyakit yang Pak Lah kata dia ada atau memang benar Pak Lah suka tidur, maka Pak Lah tersungkur.
Tapi Najib walaupun lembab , dia tidak tidur. Najib mahu checkmate pengaruh Dr Mahathir jadi dia buat panggilan peribadi kepada semua pengerusi perhubungan dan pemimpin Umno tertentu di peringkat bahagian menyatakan dia mahukan status quo. Bagaimana saya tahu? Sebab saya bekas ketua penerangan Najib dahulu dan saya tahu memang ini cara Najib. Hendak buat terang-terangan dia penakut, maka dia buat personal calls. Dalam perbualan tersebut, Najib akan pujuk dengan pelbagai umpan dan konsesi. Dr Mahathir pun kalau dia panggil sendiri, apa yang dia boleh tawarkan? Dia bukan lagi PM yang ada kuasa memati dan menghidupkan.
Semalam Pak Lah bersara daripada politik. Akhirnya Pak Lah yang menang dan berundur dengan tenang. Pak Lah nyata lebih kuat sebab dia hidup dengan Jean. Dr Mahathir belum bersara dan hidup berjaga dengan dendam membara. Mulai hari ini, meriam Dr Mahathir akan menghala kearah Najib.
Orang Umno yang sayang Dr Mahathir terutama dari Sabah yang menyatakan mereka tetap sayang Dr Mahathir mesti bangkit menyokong Dr Mahathir. Buktikan perasaan kepada Dr Mahathir lebih kuat daripada perasaan inginkan envelop itu bah.
Pemilihan Umno sudah pun tamat. Naib presiden penyandang semua menang. 25 orang ahli Majlis Tertinggi (MT) pun dipilih. Orang akan melihat pengukuhan pengaruh Najib dalam kemenangan tiga penyandang naib presiden Umno. Pemilihan 25 MT lain pula. Ia adalah cerita janji yang diberi dan janji yang serupa dikhianati. It’s a story of promises given, promises broken. Lebih 60 orang yang bertanding MT tahu apa yang saya cakapkan.
Lihat penghisaban mudah ini; Jika setiap 146,000 perwakilan mendapat RM500 daripada setiap penjuru untuk satu tempat MT, maka wang yang diterima secara konservatifnya ialah RM73 juta. Untuk jawatan Naib presiden jika setiap perwakilan menerima secara pukul keliling RM1,000, maka RM146 juta. Paling minima RM200 juta menghujani ke atas perwakilan Umno.
Bagaimana pula kepada skuad ejen calon yang menjelajah semua 191 bahagian Umno terutama untuk calon naib presiden? Setiap calon ada 10 orang untuk setiap bahagian dan 191 bahagian mempunyai 1,910 operatives. Jika setiap operatives ini diupah RM2,000 untuk dua minggu kerja, jumlah pembayaran kasar ialah RM38 juta. Maka secara konservatifnya, jumlah keseluruhannya sudah mencecah RM238 juta.
Saya tidak akan terkejut jika jumlah wang yang berligar mencecah RM400 juta. Pemimpin atasan dalam 191 bahagian Umno takkan mahu dibayar RM20,000? Kalau RM1 juta satu bahagian untuk top dogs, sudah RM191 juta. Campur dengan RM238 juta sudah melebihi RM400 juta. Sebelum pemilihan ini dua minggu lalu, saya terdengar desas-desus dari kawan Umno saya, bahawa RM600 juta akan hujan rahmat macam hujan rahmat ke atas peneroka Felda suatu ketika dahulu. Hujan rahmat ini membasahi juga golongan haram jadah yang tidak menyokong Najib tapi sukakan kertas gambar Agong terutama yang berwarna ungu tu. Ada envelopnya bah..
Akhirnya yang menang ialah wang. Tidak ada yang demokratik dengan melibatkan 146,500 perwakilan Umno di seluruh negara. Yang berlaku bukannya pendemokrasian pemilihan - yang berlaku ialah penaburan wang secara lebih meluas. Jika dahlulu hanya 2,500 orang sahaja yang berkesempatan dilayani dan dimanjakan oleh pesaing pemilihan, kali ini, jumlah yang dijamu dan dilayani bertambah daripada 2,500 kepada 146,000 orang. Kaedah pemilihan kali ini meningkatkan nilai dan pentingnya ketua bahagian dan pemimpin utama di bahagian Umno.
Yang bersifat baharu ialah pertambahan pembuat keputusan untuk menentukan pimpinan dalam parti Umno. Tapi mengharapkan pembaharuan dan kemajuan berlaku dalam tahun pertama kaedah pemilihan secara electoral college ini, hanyalah menipu diri sendiri. Saya harap ahli dan pemimpin Umno mengakui perkara ini. Langkah seterusnya dan cabarannya ialah membenarkan semua 146,000 orang dihitung secara pengundi popular. Ketepikan bloc voting.
Cuba kita perhatikan kenyataan pesaing yang tewas. Kebanyakan menyatakan bahawa mereka kalah kerana perwakilan menolak mereka kerana mahu melakukan pembaharuan dan mereka tidak main politik wang. Saya tidak hairan, jika hari ini dan hari seterusnya, Dr Mahathir akan menyerang kepimpinan Najib sebagai kepimpinan yang merakyatkan politik wang. Yang berlaku ialah pendemokrasian politik wang. Ia dilakukan secara lebih meluas. Pemimin Umno yang tidak ada wang, tidak ada peluang langsung dalam politik Umno.
Tapi ini suatu yang bagus. Ia bermakna, Umno tidak ada masa depan kerana ia tidak lagi membangun atas prinsip dan sistem nilai. Dalam PRU14 nanti Umno akan dibelasah lagi teruk.
Kenapa? Sebab yang menang kebanyakannya daripada generasi X dan Y sedangkan yang akan mengundi dalam tahun 2018 nanti, majoritinya daripada generasi Z. Anak muda tidak terikat dengan pemikiran sekolah lama yang bercakap mengenai Melayu terancam dan diancam. Generasi yang tidak terpengaruh dengan percakapan perkauman, cakap mengajak rakyat berkelahi dan bercakap mengenai unsur yang memecahbelahkan negara. Generasi Z terdiri daripada pengundi yang menghitung faedah dan kos, untung dan rugi, generasi yang bercakap mengenai kebenaran dan kepalsuan, benar atau salah. generasi yang akan membuat keputusan mengikut right or wrong dan generasi yang mengadili sama ada kamu cekap dan competent.
Bolehkah Umno menyesuaikan diri dengan persekitaran yang demikian dalam masa 5 tahun ini? Tidak mungkin. Generasi Z akan menenggelamkan pimpinan generasi X dan Y Umno sekarang.
Itu menjadikan Umno apa? Ia menjadikan Umno - simply irrelevant dalam persekitaran generasi Z.
Oleh: sakmongkol.blogspot.com
* Penulis atau nama sebenarnya, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz ialah Ahli Parlimen Raub.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan