09 Okt : Sambutan Hari Raya Aidil Adha mungkin disambut secara biasa oleh kebanyakan umat Islam di negara ini, tetapi bagi orang Melayu beragama Islam yang menjadi perwakilan Umno, sambutan pada tahun ini barangkali berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Mereka yang terbabit mungkin menyambutnya dengan sedikit meriah serta poket yang agak berisi.
Tahun ini umat Islam akan merayakan sambutan Aidil Adha pada 15 Oktober manakala pemilihan Umno pula akan berlangsung pada 19 Oktober. Pemilihan bagi jawatan dalam Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pula akan diadakan pada Sabtu.
Ini bermakna, Hari Raya Aidil Adha atau Raya Haji tahun ini berada di tengah-tengah di antara pemilihan Umno dengan pemilihan jawatan dalam sayap-sayapnya.
Oleh itu, bagi yang menjadi perwakilan Umno dan mempunyai undi dalam menentukan kepimpinan parti itu, perbezan berbanding tahun-tahun sebelumnya pasti akan dapat dirasakan. Malah tidak mustahil sudah ada yang dapat merasai nikmat perbezaan itu.
Selain mereka dijemput ke pelbagai acara bertemu dengan calon-calon yang menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan serta dijamu dengan hidangan yang enak-enak, duit raya juga turut diterima daripada calon-calon yang bertanding.
Selain pemberian itu diterima daripada calon yang bertanding di peringkat bahagian, pemberian daripada calon yang bertanding di peringkat Pusat juga turut diterima.
Walaupun ia dianggap sebagai duit raya atau sumbangan ikhlas daripada calon-calon yang bertanding tetapi tujuannya ialah tidak lain untuk memastikan wang yang diberi itu dibalas dengan undi.
Dalam kesibukan calon-calon berkunjung daripada satu negeri ke satu negeri dan para perwakilan pula terlihat meriah dapat bermesra dan berkenal-kenalan dengan calon yang berjawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC dan sebagainya, alasan ketibaan Hari Raya Aidil Adha yang bakal menjelang dijadikan penyebab untuk bersikap pemurah kepada para perwakilan.
Di beberapa negeri, sudah terdapat laporan yang mengatakan ada calon-calon yang bertanding di peringkat Majlis Tertinggi menghulurkan wang kepada perwakilan dengan jumlah yang berbeza-beza.
Ada calon yang memberi RM300, ada yang memberi RM500 dan ada juga calon yang dikatakan memberi sebanyak RM1,000. Calon yang bertanding di peringkat bahagian pula memberikannya dengan jumlah antara RM100 hingga RM500.
Ada calon yang memberi hanya sekali saja tetapi terdapat juga kemungkinan calon-calon tertentu yang berada dalam kedudukan kritikal akan membuat pemberian kali kedua selepas Hari Raya nanti, terutama calon yang hanya memberi sebanyak RM300 pada peringkat pertama.
Bagi calon yang sudah memberi sebanyak RM500 atau RM1,000 kepada para perwakilan, kemungkinan tiada lagi pemberian kali kedua kecuali jika calon tersebut tidak yakin dengan kemenangannya atau kerana ingin mendapatkan kedudukan tertinggi.
Dan sesuai dengan ketibaan Hari Raya Haji, wang yang dihulur itu juga diberi pelbagai nama, antaranya duit raya, duit daging, duit korban dan sebagainya.
Yang menyebutnya sebagai duit minyak juga ada kerana pemberian itu dianggap imbalan atas kesudian para perwakilan menghadirkan diri dan bertemu dengan calon-calon yang bertanding itu.
Para perwakilan didapati sudah mula menerima pemberian wang itu daripada tukang-tukang kempen sejak dua tiga hari lalu dan dipercayai yang belum menerimanya, dijangka akan menerima habuan masing-masing menjelang hari-hari terakhir sebelum sambutan Hari Raya Haji pada 15 Oktober nanti.
Meskipun Umno melarang perbuatan membeli undi atau mengamalkan politik wang dalam merebut sebarang jawatan dalam parti tetapi amalan itu nampaknya sulit mahu dihapuskan sama-sekali.
Ini kerana ia berlaku dalam suasana ada yang sanggup memberi dan ada pula yang sanggup menerima.
Meskipun dengan peraturan baru pertandingan Umno menjadikan mereka yang berhak memilih pucuk pimpinan diperingkatkan daripada 2,500 orang kepada 146,500 orang yang pertama kali diperkenalkan tahun ini, namun ia ternyata tidak mampu menghapuskan sama-sekali amalan politik wang dan membeli undi di kalangan calon-calon yang mahu bertanding.
Kegiatan itu didapati terus berlaku dalam pelbagai bentuk dan jenis, tambahan pula memandangkan tarikh pemilihan kali ini bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidil Adha, seolah-olah menjadi suatu keperluan untuk calon-calon yang bertanding bersikap pemurah dan menghulurkan sedikit wang kepada para perwakilan. – shahbudindotcom
Tiada ulasan:
Catat Ulasan