07 Feb : “Bayangkan apa tindakan Polis jika ada enam NGO membuat demonstrasi tengah hari kelmarin dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” tanya Ahli Parlimen Gelang Patang, Lim Kit Siang.
Di samping itu, katanya dikemukakan bukti bergambar bagi tindakan itu, diikuti dengan tindakan melumur darah ayam ke atas sepanduk memuatkan gambar menteri-menteri Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kalau demonstrasi sedemikian terjadi, sudah tentu seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia, diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri, akan mengerumuni 30 penunjuk perasaan daripada enam NGO terbabit dan semua mereka akan terus disumbat ke dalam lokap, disiasat dengan teliti dan dengan pantas didakwa,” ujarnya yang juga Ketua Parlimen DAP dalam satu kenyataan.
Ini, katanya kerana bukan saja melanggar Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memberi notis 10 hari untuk perhimpunan tersebut, malah mereka juga akan didakwa kerana melakukan jenayah yang ‘menjejaskan’ demokrasi berparlimen menurut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 1012 (Sosma), Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan sebagainya, dan kemungkinan semua yang terlibat itu akan merengkok lama dalam penjara.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Bayangkan apa tindakan Polis jika ada enam NGO membuat demonstrasi tengah hari kelmarin dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mengemukakan bukti bergambar bagi tindakan itu, diikuti dengan tindakan melumur darah ayam ke atas sepanduk memuatkan gambar menteri-menteri Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Kalau demonstrasi sedemikian terjadi, sudah tentu seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia, diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri, akan mengerumuni 30 penunjuk perasaan daripada enam NGO terbabit dan semua mereka akan terus disumbat ke dalam lokap, disiasat dengan teliti dan dengan pantas didakwa, bukan saja kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memberi notis 10 hari untuk perhimpunan tersebut, malah mereka juga akan didakwa kerana melakukan jenayah yang ‘menjejaskan’ demokrasi berparlimen menurut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 1012 (Sosma), Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan sebagainya, dan kemungkinan semua yang terlibat itu akan merengkok lama dalam penjara.
Malah, kemungkinan enam NGO yang diwakili oleh 30 orang itu dengan pantas akan disumbat ke dalam “Black Maria” sehingga tidak sempat menyembelih ayam dan malah tidak sempat pun berhimpun kerana polis telah mendapat maklumat tentang rancangan mereka jauh lebih awal.
Tidak diragui lagi bahawa Cawangan Khas Polis Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia di kalangan unit khas sejenisnya, berkat warisan penjajah British dan kedudukan istimewanya dalam hirarki polis dengan himpunan maklumat risikan yang dikumpul dengan tujuan utama melindungi rejim yang berkuasa sekarang, sedangkan dalam masyarakat yang benar-benar demokratik, perkara paling utama bagi polis ialah untuk memelihara demokrasi berparlimen dan hak asasi manusia.
Tidak masuk akal sama sekali jika polis tidak mendapat apa-apa maklumat tentang demonstrasi kelmarin sebelum wakil-wakil media cetak dan media elektronik turun memberikan liputan penuh tentang demonstrasi itu yang diisi dengan acara menyembelih ayam dan melumur darah – jika benar polis tiada maklumat awal, maka Cawangan Khas patut dirombak sepenuhnya dan malah pengarah Cawangan Khas sepatutnya dipecat.
Namun, saya tahu Cawangan Khas adalah cekap, bererti polis telah mendapat maklumat awal tentang demonstrasi yang dirancang oleh enam NGO yang menggelar diri mereka sebagai Majlis NGO Islam, terdiri daripada Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).
Sehingga kini, Polis dan juga kerajaan Barisan Nasional membisu seribu bahasa tentang demonstrasi kelmarin yang melampau, menghasut, dan secara terbuka mengapi-apikan kebencian perkauman dan keagamaan untuk mencetuskan satu lagi peristiwa 13 Mei dalam negara berikutan video “Onederful Malaysia CNY 2014” yang mengkritik kegagalan dan kelemahan kerajaan Barisan Nasional tanpa mengaitkan mana-mana kaum atau agama.
Video Teresa didakwa anti-Melayu dan anti-Islam. Saya telah menjemput pihak yang membuat dakwaan sebegini untuk tampil secara terbuka menunjukkan di bahagian mana video itu anti-Melayu dan anti-Islam.
Jika mereka boleh menunjukkan ada bahagian dalam video itu yang anti-Melayu dan anti-Islam, saya secara terbuka akan meminta Teresa untuk mengambil tindakan yang wajar. Namun, sehingga kini belum ada siapa menyambut permintaan saya.
Paling menyedihkan, dua pemimpin MCA yang baru dipilih untuk memegang jawatan tertinggi, iaitu Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden Datuk Dr Wee Ka Siong, seperti pemimpin-pemimpin MCA yang lain yang menurut jejak Barisan Nasional menyerang video Teresa, gagal menunjukkan di bahagian mana video itu anti-Melayu atau anti-Islam, tetapi mereka terus menggalakkan dan malah membantu protes puak ekstremis terhadap video Teresa.
Saya percaya semua rakyat Malaysia yang sihat akal fikirannya berhak untuk bertanya kepada KPN, Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri, serta pimpinan Umno dan MCA mengapa layanan berbeza akan diberikan jika ada enam NGO menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Perdana Menteri dan melumur darah pada sepanduk bergambar Menteri Umno berbanding layanan yang diberikan terhadap enam NGO kelmarin yang menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Teresa Kok dan melumur darah pada sepanduk yang memaparkan wajah pemimpin Pakatan Rakyat.
Sikap pilih bulu diamalkan oleh polis dan institusi utama negara, sedangkan mereka seharusnya bersikap tidak berpihak, saksama, dan profesional. Keadaan ini membuatkan rakyat semakin tidak yakin akan adanya urus tadbir yang baik, kebertanggungjawaban dan ketelusan di Malaysia.HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan