SPECIAL ADS

8 Februari 2014

PAS akhirnya sambut baik cadangan ‘Konsensus Nasional’ BN-Pakatan

Abdul Hadi berpendapat sebarang usaha yang positif demi perpaduan dan kemakmuran perlu diperkukuhkan. – Gambar fail.
09 Feb : Selepas membisu seketika, PAS akhirnya menyambut baik cadangan "Konsensus Nasional" yang dicadangkan oleh Kabinet Datuk Seri Najib Razak.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan tersebut dicapai selepas satu perbincangan diadakan dengan pemimpin PAS Pusat mengenai perkara itu.
"PAS menyambut baik cadangan tersebut sebagai usaha merungkai serta menyelesaikan kemelut dalam negara kita ini," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan awal pagi ini.
Selepas beberapa kali usaha untuk mengadakan perbincangan antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) gagal, pentadbiran Najib akhirnya pada 29 Januari lalu bersetuju untuk mengadakan "Konsensus Nasional".
Persetujuan diputuskan selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengulangi tawaran tersebut kepada Najib dalam satu perutusan khas di negeri Selangor.
Abdul Hadi juga berkata, sebarang usaha yang positif demi perpaduan dan kemakmuran perlu diperkukuhkan.
"PAS ingin menegaskan bahawa sebarang tujuan murni ke arah keharmonian dalam masyarakat adalah wajar diperkukuhkan.
"Sebagaimana yang pernah disumbangkan oleh PAS menerusi pelbagai jawatankuasa dan majlis perundingan negara," katanya.
Dalam mengalu-alukan cadangan tersebut, Abdul Hadi meminta pihak kerajaan agar mendedahkan dan menyatakan terma-terma mengenai "Konsensus Nasional" itu.
"Lanjutan daripada itu, maka PAS berharap agar pihak kerajaan dapat menyatakan terma-terma dan proses Konsensus Nasional ini sebagai langkah bergerak ke hadapan," katanya.
Najib semasa menerima pelawaan pembangkang menggariskan empat perkara dalam Konsensus Nasional dan akan bertanggungjawab sebagai ketua dalam mencapai matlamat demi kebaikan untuk negara.
"Rancangan rekonsiliasi nasional itu akan berasaskan empat kunci utama, iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa dan melihat pada masa depan, saya akan mengetuai pelaksanaan perubahan ini dengan harapan membawa semua rakyat Malaysia berada dekat antara satu sama lain," kata Najib.
Selepas pilihan raya umum ke-13 di mana BN mendapat keputusan paling buruk dalam sejarah, pentadbiran Najib dilihat bergelut menangani hubungan antara kaum dan agama dalam negara dan diburukkan lagi dengan kenaikan harga barang. TMI

Tiada ulasan: